PEMAIN Belanda, Boris Aardenburg diasak pemain Pakistan, Ghazanfar Ali. FOTO Aizuddin Saad
PEMAIN Belanda, Boris Aardenburg diasak pemain Pakistan, Ghazanfar Ali. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pakistan membuatkan Belanda tergamam selepas berjaya mengikat pasukan ranking keempat dunia itu 3-3 pada aksi pertama peringkat Kumpulan D di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Belanda pada awalnya dilihat tidak berdepan masalah

menewaskan Pakistan apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan padang Boris Aardenburg minit ke-21 serta Caper van der Veen minit ke-30.

Bagaimanapun Pakistan di bawah bimbingan bekas jurulatih skuad senior negara, Roelant Oltmans mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Arshad Liaqat minit ke-32 serta pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sufyan Khan empat minit selepas itu.

Olivier Hortensius memberi harapan semula kepada Belanda untuk memungut tiga mata penuh apabila menjaringkan gol padang minit ke-47.

Namun lima minit sebelum tamat perlawanan, Pakistan memperoleh penalti stroke yang kemudian disempurnakan oleh Arbaz Ahmad sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Oltmans sendiri yang baharu beberapa bulan membimbing Pakistan, turut terkejut dengan keputusan diraih anak buahnya hari ini.

"Saya tak menjangkakan keputusan seperti ini, sejujurnya kami melakukan kesilapan di awal permainan dan saya rasa semua orang di dunia ini terkejut kami raih keputusan seri dengan mereka (Belanda).

"Saya tahu kualiti yang ada oleh barisan pemain tetapi saya juga tahu pasukan ini tidak konsisten dalam setiap kejohanan.

"Seperti yang anda lihat hari ini, pasukan saya melakukan banyak kesilapan. Jika kami dapat beraksi dengan lebih konsisten selepas ini, saya rasa kami dapat lakukan lebih baik pada perlawanan seterusnya," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Belgium tidak berdepan masalah mengatasi New Zealand 4-0.

Belgium memperoleh dua gol pantas pada minit ke-18 menerusi penalti stroke Hugo Labouchere dan jaringan padang Jack Vloeberghs sebelum Louis Depelsenaire dan Thomas Crols masing-masing menyumbang gol minit ke-21 dan 34.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:02 PM