KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara berpeluang menamatkan saingan di kedudukan lebih baik pada kempen Piala Dunia di Bhubaneswar dan Rourkela di India, bermula 13 hingga 19 Januari tahun depan.

Ia selepas undian dilangsungkan hari ini menyaksikan skuad bimbingan Arul Selvaraj diundi dalam Kumpulan C bersama-sama pasukan ranking ketiga dunia, Belanda, New Zealand serta Chile.

Kecuali Belanda yang juga naib juara edisi 2018, skuad hoki negara dilihat tidak berdepan masalah mengatasi Chile yang menduduki ranking ke-23 dunia selain mempunyai keupayaan seimbang dengan New Zealand.

Arul berpendapat, undian kali ini lebih memihak kepada skuad negara dengan beliau meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir.

"Kami perlu mempamer prestasi terbaik untuk keluar daripada peringkat kumpulan dan layak ke peringkat seterusnya.

"Sudah tentu daripada persiapan, perlawanan persahabatan serta kejohanan seperti Piala Azlan Shah dan Piala Negara-Negara yang dilalui skuad negara, saya fikir kita perlu menang dengan New Zealand dan Chile.

"Manakala pertemuan dengan Belanda pula, skuad negara perlu beraksi dengan lebih bijak. Seperti saya katakan tadi, kami mahu keluar daripada peringkat kumpulan dan beraksi di peringkat suku akhir," katanya.

Kumpulan A menyaksikan pasukan ranking pertama dunia, Australia diundi bersama-sama Argentina, Perancis serta Afrika Selatan.

Kumpulan B pula menyaksikan pertembungan juara bertahan, Belgium, Jerman, Korea Selatan dan Jepun manakala Kumpulan D terdiri daripada India, England, Sepanyol serta Wales.

Skuad Malaysian Tigers mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara di Piala Asia, Mei lalu.

Ia kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975.

Kumpulan A

Australia

Argentina

Perancis

Afrika Selatan

Kumpulan B

Belgium

Jerman

Korea Selatan

Jepun

Kumpulan C

Belanda

New Zealand

MALAYSIA

Chile

Kumpulan D

India

England

Sepanyol

Wales

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 4:25 PM