ARUL (biru) memberi arahan kepada barisan pemain. -FOTO MHC
ARUL (biru) memberi arahan kepada barisan pemain. -FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj mengakui bahawa anak buahnya sekarang ini berada di fasa persiapan terakhir menjelang saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Stadium Mayor Radhakrisnan, Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan.

Menurutnya, skuad negara sedang mengadakan perlawanan dengan pasukan remaja kebangsaan bagi mengenalpasti situasi permainan, tempo, kesedaran dan juga daripada sudut taktikal yang lain.

"Apa yang saya nak lihat daripada pemain di ACT adalah mengambil tanggungjawab seperti di Korea Selatan (siri jelajah ke Korea Selatan, baru-baru ini) sebelum ini. Di Korea Selatan kita lebih fokus kepada (melihat) kesilapan individu dan juga konsentrasi untuk menjadi lebih baik," katanya.

Ujar Arul, beliau mahu memastikan setiap individu mengambil tanggungjawab, di mana mereka mempunyai persiapan dari sudut pasukan dan juga individu.

"Jadi ACT adalah fasa terakhir sebelum kita ke Sukan Asia. Selepas fasa itu, di ACT kita akan fokus kepada pasukan," kata Arul.

Sebelum ini, skuad negara mengharungi empat perlawanan di siri jelajah Korea Selatan bulan lalu, yang menyaksikan Malaysian Tigers meraih satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Pencapaian terbaik negara di ACT adalah meraih tempat ketiga, masing-masing pada 2011, 2012, 2013 dan 2016 dan untuk kali ini, ia bakal menjadi medan persiapan menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual berlangsung pada September ini.

Dalam pada itu, Arul yang dinobatkan selaku Jurulatih pasukan lelaki kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 baru-baru ini berkata, penganugerahan berkenaan dan juga pasukan sebagai penerima anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan bakal menjadi motivasi buat mereka bagi mencapai lebih banyak kejayaan.

"Kemenangan jurulatih terbaik adalah satu proses untuk lebih maju ke depan. Saya berterima kasih kepada presiden (Konfederasi Hoki Malaysia) Datuk Seri Subahan Kamal yang memberi kepercayaan kepada saya. Paling penting kejayaan ini adalah untuk pemain.

"Kemenangan kita sebagai Pasukan Terbaik untuk 2022 juga adalah salah satu motivasi kerana apabila kita bekerja kuat, kita kena ada saat manis dan trofi untuk disimpan sebagai memori, ini juga motivasi untuk terus berusaha gigih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 1:28 PM