PEMAIN pasukan Hoki Terengganu (THT), Fazal Saari (tengah) meledak gol pertama pasukannya pada aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, petang ini. FOTO THT
PEMAIN pasukan Hoki Terengganu (THT), Fazal Saari (tengah) meledak gol pertama pasukannya pada aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, petang ini. FOTO THT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Juara berganda musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) gagal merampas kedudukan teratas Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas terikat 2-2 menentang pendahulu, Maybank pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang tadi.

Dengan keputusan itu, skuad THT yang dibimbing jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho dan pelawat kendalian Azrul Effendy Bistamam berpuas hati mengutip satu mata dengan masing-masing mengumpul 10 mata hasil empat perlawanan.

Pada perlawanan itu, THT yang masih segar selepas kejayaan merangkul trofi Piala Sumbangsih minggu lalu bermula garang dengan memperoleh pukulan sudut penalti pada minit kelima, namun pemain kebangsaan, Shello Silverius gagal menyudahkan peluang itu dengan jaringan.

Tiga minit berselang, THT sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti, tapi pakar pukulan sudut dari Korea Selatan, Jang Jonghyun juga gagal memanfaatkan peluang terhidang itu.

Begitu juga pukulan sudut penalti ketiga diperoleh THT juga gagal disudahkan dengan jaringan.

Pada minit ke-17, gol dicari tuan rumah akhirnya menjelma menerusi gol padang penyerang kebangsaan, Faizal Saari yang melakukan tolakan mengelirukan hasil umpanan Marhan Mohd Jalil untuk pasukannya mendahului 1-0.

Pelawat yang lebih banyak bertahan, akhirnya mendapat pukulan sudut penalti pertamanya pada minit ke-30, peluang itu berjaya disudahkan oleh Muhammad Izham Azhar untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Beraksi dalam cuaca hujan, THT terus berusaha untuk mencari jaringan kemenangan, namun kekentalan barisan pertahanan pelawat menggagalkan usaha tuan rumah walaupun kerap mengasak kubu pelawat.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-54 apabila bekas pemain kebangsaan, Fitri Saari menambah jaringan kedua THT selepas menyudahkan hantaran Shello untuk pasukannya mendahului

2-1.

Pada minit ke-59, perlawanan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat dan disambung 14 minit kemudian.

Ketika THT diambang kemenangan, pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim muncul penyelamat pasukannya selepas menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 20 saat menerusi pukulan sudut penalti sekali gus menyaksikan THT kempunan mengutip tiga mata di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 7:38 PM