DUA pemain negara cuba mengekang kemaraan pemain Korea Selatan.  FOTO MHC
DUA pemain negara cuba mengekang kemaraan pemain Korea Selatan. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Impian skuad hoki lekaki negara untuk merangkul trofi sulung Piala Asia berkecai apabila tumpas 1-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno sebentar tadi.

Hwang Taeil muncul wira Korea Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan di suku terakhir sekali gus menebus kekecewaan ketika mereka tumpas 4-5 dengan Malaysia pada aksi peringkat kumpulan minggu lalu.

Anak buah A Arul Selvaraj hanya mengulangi pencapaian 2017 di Dhaka, Bangladesh apabila tumpas kepada India dengan keputusan jaringan yang sama. Aksi suku akhir pertama berlangsung seimbang dengan Shello Silverius mempunyai dua peluang pada hujung saingan namun percubaan pertama hanya menyinggah di tepi jaring, manakala yang kedua pula gagal menyambut kemas pukulan Shahril Saabah ketika dia berada dalam kawasan D.

Korea Selatan juga mempunyai peluang terbaik untuk mendahului saingan namun pukulan sudut penalti sulung mereka berjaya diselamatkan pertahanan negara, Najmi Farizal Jazlan.

Sebaik bersambung suku kedua Korea Selatan yang dibimbing, Shin Seok Kyo berada di depan pada minit ke-17 apabila pukulan Kim Jung Hoo berjaya disambut Jung Manjae untuk menumpaskan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.

Tujuh minit kemudian Malaysia berjaya menyamakan kedudukan apabila kawalan kemas dan pukulan ke belakang Faizal Saari berjaya disudahkan Syed Syafiq Syed Cholan sebelum untuk menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat saingan separuh masa kedua.

Jangkaan bahawa akan ada tambahan gol pada suku ketiga oleh kedua-dua pasukan ternyata meleset, apabila Malaysia dan Korea Selatan dilihat bergelut untuk memegang bola dengan lebih lama.

Malaysian Tigers mempersiakan tiga peluang terbaik untuk menambah jaringan pada suku keempat apabila tiga pukulan sudut penalti yang diperoleh tidak menemui sasaran.

Kegagalan Malaysia memanfaatkan peluang digunakan sebaik mungkin oleh Korea Selatan apabila berjaya menambah gol kedua hasil serangan balas pantas dengan Taeil berjaya menyambut kemas pukulan Lee Juyoung pada minit ke-52.

Korea Selatan mempunyai peluang keemasan ketika aksi berbaki tujuh minit apabila dihadiahkan penalti stroke namun Hafizuddin cemerlang berjaya menyelamatkan pukulan Jang Jonghyun.

Malaysia sebelum ini sudah mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia 2023 selepas India yang menjadi tuan rumah tahun depan turut berada dalam kelompok empat terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 9:29 PM