BARISAN pemain UniKL ketika sesi latihan menjelang aksi Piala Sumbangsih esok. FOTO MHC
BARISAN pemain UniKL ketika sesi latihan menjelang aksi Piala Sumbangsih esok. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Siapa yang berjaya mengambil peluang pasukan itulah yang bakal menjulang Piala Sumbangsih bagi pembukaan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlangsung esok di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kedua-dua pasukan merumuskan mereka sudah bersedia memulakan saingan MHL 2021 dengan cuba meraih trofi sumbangsih seterusnya menjadi pembakar semangat untuk mengharungi perlawanan liga dan menempah slot ke pusingan kalah mati Piala TNB.

Menurut jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Termizi, perkara paling melegakannya menjelang perlawanan esok ialah tiada pemain yang terbabit dengan masalah kesihatan mahupun kecederaan.

"Malah kita juga mendapat khabar gembira bahawa pemain yang mengalami kecederaan kecil juga sudah bersedia untuk beraksi esok. Cuma esok kita akan mengadakan mesyuarat untuk merencanakan strategi bagi menentang TNB. Selain itu, kita sudah bersedia," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Beliau juga mengakui bahawa TNB sudah dikenali sejak sekian lama sebagai pasukan yang tidak bergantung kepada tenaga import dan mengakui itu juga adalah sebahagian daripada kekuatan lawan mereka menjelang aksi esok.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna tanpa tonggak import kali ini kita akan menjadi tempang. Kita masih mempunyai kualiti bersandarkan kepada pemain berpengalaman dan tonggak muda berbakat.

"Esok aksi seimbang siapa yang kurang buat kesilapan dan mengambil peluang terhidang akan meraih kejayaan," katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih TNB, Amin Rahim berkata, anak buahnya berada pada prestasi terbaik dan akan kekal fokus sehinggalah mereka dapat menjulang trofi Piala Sumbangsih.

"Kita tahu UniKL mempunyai 10 pemain kebangsaan dan kita juga sama. Kunci kekuatan mereka sudah tentu terarah kepada pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim, serta dua pemain berpengalaman Marhan Jalil dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.

"Melihat semula kepada kekuatan yang dimiliki oleh kami sendiri, kami akan cuba mengimbangi kekuatan mereka. Kedua-dua pasukan adalah seimbang dan mereka yang lebih fokus dan berjaya mengambil peluang akan muncul juara esok," kata Amin.

Ditanya mengenai sasaran liga dan Piala TNB, beliau berkata buat masa sekarang fokus mereka hanya menumpukan kepada aksi berdepan UniKL terlebih dulu dan menasihati pemain agar mempamerkan permainan mudah.

UniKL yang muncul menjulang trofi sumbangsih tahun lalu selepas mengalahkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-2 turut bersedia jika aksi musim ini diheret sehingga penentuan 'shootout'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 7:02 PM