Pertandingan FAM eRimau Cup. FOTO Ihsan FB FAM
Pertandingan FAM eRimau Cup. FOTO Ihsan FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peminat sukan elektronik (e-sukan) kini berpeluang untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan "FIFAe Nations Series 2021" yang akan berlangsung tahun ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama syarikat e-sukan bola sepak terkenal, Gamesbond buat julung kalinya akan menganjurkan pertandingan e-sukan Bola Sepak dinamakan "FAM eRimau Cup".

Menurut kenyataan media yang dikongsikan badan induk itu, FAM tidak ketinggalan dalam mengikut perkembangan e-sukan iaitu permainan dalam talian yang mula mengambil tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.

"Kejohanan ini bertujuan untuk mencari seorang wakil eBolasepak negara di peringkat kebangsaan bagi menyertai skuad eRIMAU Malaysia.

"Juara "FAM eRIMAU CUP" bakal menyertai kem skuad eRIMAU Malaysia bersama empat pemain yang sudah disenarai pendek menerusi pencapaian mereka di kejohanan FIFAe Club World Cup," menurut kenyataan itu.

Empat pemain terbabit adalah Muhamad Luqman Haziq Hajiman (LuqmanHzq), Ahmad Shahrin Shaharudin (Ayen), Faiq Iskandar Saiful Bahri (Halowake) dan Muhammad Naim Muhammad Hisham (DatoRentap).

Bagi melengkapkan skuad eBolasepak Malaysia, FAM kini sedang mencari seorang lagi bakat baru untuk diserapkan di dalam kem eBolasepak FAM.

Kem eBolasepak FAM ini juga akan memilih hanya tiga orang menerusi pencapaian di dalam kem terbabit bagi mewakili Malaysia pada "FIFAe Nations Series 2021".

Bagi penggiat e-sukan terutamanya FIFA 20/21, anda berpeluang untuk mewakili negara menerusi penyertaan kejohanan "FAM eRIMAU CUP" yang bakal berlangsung pada 19-21 Mac ini secara dalam talian dengan hadiah terkumpul bernilai sebanyak RM 5,000 dan pendaftaran akan dibuka pada awal Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 5:58 PM