ZULISAR anggap perpindahan itu satu cabaran baharu kerana buat pertama kalinya beraksi di negara luar dari Indonesia. FOTO Ihsan Team HaqEsports Club
ZULISAR anggap perpindahan itu satu cabaran baharu kerana buat pertama kalinya beraksi di negara luar dari Indonesia. FOTO Ihsan Team HaqEsports Club
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan FIFA Malaysia, Team HaqEsports Club (THQ) terus mengukuhkan barisan pemainnya apabila berjaya melengkapkan perpindahan Moehamad Zulisar atau dikenali sebagai 'Chanks' untuk beraksi bersama mereka.

Chanks yang cukup dikenali di rantau Asia Tenggara dan pernah menjuarai ePiala Indonesia 2021 menjadi rebutan kelab e-Sukan tempatan dan antarabangsa namun dia lebih memilih THQ sebagai pasukan baharu pada musim depan.

Menurut Zulisar, pemilihan THQ sebagai destinasinya pada musim depan berikutan keyakinan terhadap keupayaan pasukan berkenaan dalam usaha mengembangkan lagi bakatnya di peringkat antarabangsa.

"Bagi saya, perpindahan ini adalah satu cabaran baharu kerana buat pertama kalinya beraksi di negara luar dari Indonesia. Saya turut berbangga kerana berpeluang untuk beraksi bersama salah satu pasukan terbaik di Asia Tenggara.

"Peluang yang diberikan ini sudah tentu saya mahu membawa lebih banyak kejuaraan untuk pasukan pada kejohanan akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Muhammad Aimanulhaq Zaharuddin berkata, kehadiran pemain itu dapat menguatkan lagi pasukan dan mempertingkatkan kualiti permainan mereka.

"Kami bekerja keras untuk membawa Chank ke pasukan ini dan sudah pasti saya berasa sangat gembira apabila perpindahan ini berjaya dilengkapkan.

"Terima kasih kami ucapkan kepada pasukan Zeus Indonesia kerana memberikan kerjasama yang sangat baik. Kemasukan Chank ke pasukan kami sudah pasti akan meningkatkan kualiti pasukan dan yakin beliau akan cepat membiasakan diri dalam suasana di pasukan baharu," katanya.

Mengikut rekod, Chank yang menyinar dalam industri e-Sukan ini apabila dia mula mencipta nama dengan pernah mewakili pasukan Persikabo pada musim lepas.

Pemain itu terus mengorak langkah ke hadapan apabila beliau berjaya menjadi tunjang utama membawa Indonesia ke kejohanan utama FIFAe Nation Cup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:35 PM