STADIUM Nasional Bukit Jalil diberi jaminan untuk aksi pertunjukan ‘Battle Of The Reds’, Sabtu ini.
STADIUM Nasional Bukit Jalil diberi jaminan untuk aksi pertunjukan ‘Battle Of The Reds’, Sabtu ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Imej negara sekali lagi bakal menjadi taruhan apabila ikon bola sepak dunia bakal berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) membabitkan aksi pertunjukkan 'Battle of The Reds' antara Manchester Reds dan Liverpool Reds, Sabtu ini.

Permukaan padang SNBJ yang sering dikritik hebat ekoran kualiti rumput yang teruk hingga menjejaskan momentum permainan selain boleh mendatangkan kecederaan akan digunakan oleh legenda bola sepak dunia untuk aksi pertunjukan itu.

TROFI 'Battle Of The Reds' turut diperkenalkan semalam.
TROFI 'Battle Of The Reds' turut diperkenalkan semalam.

Antara bekas pemain yang akan beraksi adalah Dimitar Berbatov, Mikael Silvestre, Wes Brown dan Teddy Sheringham buat Manchester Reds.

Manakala bekas penjaga gol England dan Liverpool, David James, Emile Heskey, Djibril Cisse, Steve McManaman, John Arne Riise dan serta Luis Garcia akan memperkuatkan skuad Liverpool Reds.

Begitupun penganjur saingan itu, Azman Fahmi Osman memaklumkan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah melakukan kerja pembaikan dengan baik bagi memastikan padang dalam keadaan terbaik pada perlawanan itu nanti.

Jelas Azman yang juga Pengarah Eksekutif Projek 'Battle of the Reds' itu, jaminan berkenaan diberikan PSM dan beliau percaya isu itu dapat diatasi, sekali gus padang berkenaan sesuai digunakan.

"Kami sudah dimaklumkan pihak stadium, mereka sudah menjalankan pelbagai cara untuk meningkatkan mutu padang.

"Bagi kami, padang tersebut 'fit to play' dan boleh bermain," katanya.

Ujarnya lagi, aksi berkenaan bukanlah perlawanan bertaraf Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) mahupun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sebaliknya ia hanyalah perlawanan pertunjukan.

"Saya juga mahu tekankan ini bukan perlawanan bertaraf Fifa ataupun AFC. Ini hanya perlawanan pertunjukan. Jadi kita mengharapkan semua penonton terhibur pada hari tersebut," kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif PSM itu.

Majlis pengenalan trofi dan pengumuman pemain diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman; Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Azman Tambi Chik dan Pengarah Urusan AllStar Sports Sdn Bhd, Datuk Alan Foo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:18 PM