PEMAIN Sri Pahang meraikan jaringan ketika perlawanan persahabatan dengan kelab Singapura, baru-baru ini. FOTO SRI PAHANG
PEMAIN Sri Pahang meraikan jaringan ketika perlawanan persahabatan dengan kelab Singapura, baru-baru ini. FOTO SRI PAHANG
Asrol Awang


Kuantan: Enam pemain import Sri Pahang FC, khususnya tiga pemain baharu menunjukkan komitmen tinggi dan semakin akrab bersama pemain tempatan sejak bersama dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Justeru, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad mahu sikap itu dikekalkan untuk memastikan skuad itu bersedia menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 bermula bulan depan.

"Alhamdulillah mudah-mudahan akan lebih baik persembahan akan dipamerkan semua pemain apabila liga bermula nanti apabila hubungan mereka semakin akrab.

"Saya lihat kombinasi antara mereka iaitu gabungan pemain lama dan baharu sangat positif yang diharap membantu meletakkan Sri Pahang pada prestasi terbaik berbanding musim lalu.

"Masing-masing mahu memberikan yang terbaik buat pasukan pada musim baharu ini dan ia sangat bagus buat Sri Pahang," katanya.

Ditanya posisi perlu diberikan penekanan sebelum sepak mula Liga M khususnya Liga Super, Fandi berkata, beliau lebih memberikan tumpuan di bahagian tengah dan pertahanan.

Katanya, selain itu apabila kehilangan bola, mereka perlu cepat bertindak dan lebih bertanggungjawab pada setiap perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 8:15 PM