BRANDT (empat dari kiri) menjaringkan gol pembukaan Dortmund. FOTO AFP
BRANDT (empat dari kiri) menjaringkan gol pembukaan Dortmund. FOTO AFP
Reuters

Dortmund: Borussia Dortmund tidak sabar menanti perlawanan ulangan dengan Paris St Germain (PSG) di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menyingkirkan Atletico Madrid 5-4 secara agregat pada aksi suku akhir mendebarkan, awal pagi tadi.

Dortmund mengubah defisit 1-2 selepas suku akhir pertama untuk menang 4-2 di tempat sendiri dan akan berdepan PSG yang berada dalam kumpulan sama dengan mereka di pusingan awal.

Pengendali Dortmund, Edin Terzic percaya pasukannya yang muncul juara Eropah pada 1997 kini lebih bersedia untuk berdepan juara Perancis itu, selepas mereka tewas di Paris dan seri di tempat sendiri di peringkat kumpulan.

"Perlawanan pertama kami menentang PSG tidak bagus. Pada perlawanan kedua, kami mengubah pasukan dan hampir menang. Saya fikir pasukan kami lebih baik ketika ini berbanding ketika menentang mereka di peringkat kumpulan," kata Terzic selepas kemenangan ke atas Atletico.

Pemain tengah, Julian Brandt yang menjaringkan gol pembukaan Dortmund pada babak pertama mengakui yakin pasukannya akan mara ke separuh akhir selepas menjaringkan dua gol, dibolosi dua kali dan menambah dua lagi gol.

"Ia adalah perlawanan yang gila bagi penyokong dan pemain. Perlawanan hebat buat kami, penyokong kami dan peminat bola sepak di seluruh dunia," katanya yang dianugerahkan pemain terbaik perlawanan.

"Ia akan menjadi lebih serius selepas ini apabila berdepan PSG. Kami bermain dengan baik menentang mereka di tempat sendiri, tetapi tidak bagus ketika bertandang ke tempat lawan.

"Kami mahu melakukan lebih baik selepas ini dan sudah tentu, mahu ke final."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 8:32 AM