HAMIDIN diumumkan penerima Anugerah Ikon Kepimpinan pada 2023 lalu. -FOTO NSTP
HAMIDIN diumumkan penerima Anugerah Ikon Kepimpinan pada 2023 lalu. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tangga gaji yang diterima Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak perlu dijadikan polimik besar memandangkan beliau sememangnya diketahui umum berstatus Presiden Eksekutif iaitu bergaji bulanan.

Hamidin yang mencipta sejarah menjadi individu pertama dalam kalangan orang biasa bergelar Presiden selepas enam Presiden terdahulu adalah sama ada Perdana Menteri, Menteri Kabinet atau Kerabat Diraja.

Sudah tentu, sebagai orang biasa yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan politik, jawatan dalam kerajaan atau berdarah kerabat, Hamidin tidak memiliki sumber kewangan kukuh berbanding Presiden terdahulu.

Untuk itu, ia sudah pun dipersetujui supaya Hamidin menerima gaji bulanan supaya beliau lebih dekat dan aktif untuk mengemudi FAM secara sepenuh masa dan ia terbukti apabila beliau hadir setiap hari ke Wisma FAM, Kelana Jaya selain merangka pelbagai inisiatif dan program untuk memperkasa bola sepak negara.

Antara perubahan terbesar yang berjaya digerakkannya ialah melancarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap F:30 FAM yang merupakan perancangan jangka panjang FAM bagi tempoh 12 tahun yang merangkumi empat fasa bermula 2019-2022, 2023-2026 dan 2027-2030, sesuatu yang tidak pernah dilakukan FAM sebelum ini.

Selain itu, Hamidin turut memperkenalkan projek pemerkasaan ahli gabungan iaitu ACE, melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia, melancarkan Piagam Akar Umbi Suparimau dan pelbagai inisiatif lain bagi menggerakan FAM dan ahli-ahli gabungannya.

Dari sudut pentadbiran, FAM secara beberapa tahun berturut di bawah kepimpinan Hamidin berjaya mengekalkan status lima bintang mengikut Penilaian Badan Sukan Kebangsaan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia yang dinilai berdasarkan aspek pentadbiran, sumber manusia dan pengurusan kewangan.

Beliau juga sedang melakukan tiga projek besar untuk meningkatkan lagi tahap bola sepak Malaysia iaitu pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan dengan fasa 1 bernilai RM20 juta dengan mendapatkan geran dari Fifa dan fasa 2 dengan mendapatkan dana kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM45 juta, selain pembinaan ibu pejabat baharu FAM di Putrajaya.

Tidak hanya menumpukan dalam soal pentadbiran, Hamidin juga cukup peka mengenai prestasi skuad Harimau Malaya dalam usaha memperkasakan pasukan-pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Antara inisiatif melantik jurulatih asing iaitu Kim Pan-gon bagi skuad senior kebangsaan, Juan Torres Garrido bagi skuad B-23, Soleen Al Zoubi bagi skuad wanita kebangsaan serta Rakphol Sainetngam bagi skuad futsal kebangsaan.

Ini semua dibantu oleh hubungan baik beliau dengan presiden bola sepak negara lain seperti Republik Korea, Jordan dan Thailand.

Dari segi pencapaian, pasukan negara di bawah kepimpinan berjaya skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas tempoh panjang 43 tahun, selain skuad muda negara berjaya layak ke Piala Asia B-23 secara berturut.

Hamidin juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC dan dilantik juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC, sekali gus membuktikan kredibiliti beliau bukan saja di peringkat domestik, malah turut dipandang tinggi di pentas bola sepak antarabangsa, sesuatu yang sepatutnya dibanggakan oleh warga bola sepak Malaysia.

Dengan keberadaan beliau dalam saf kepimpinan tertinggi bola sepak Asia dan dunia, ia secara tidak langsung memudahkan FAM dan pasukan-pasukan kebangsaan mendapat faedah atau keistimewaan yang sudah tentu tidak dapat dinikmati andai kita dipimpin oleh Presiden yang tidak berkaliber dan tidak proaktif dalam menjalankan tugas hariannya sebagai presiden eksekutif yang menerima gaji.

Sebagai contoh, skuad Harimau Malaya terbang awal ke Qatar bagi Piala Asia 2023 pada Januari lalu yang mana kos penginapan dan perbelanjaan selama dua minggu awal berjumlah hampir RM1 juta telah dibiayai oleh Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) hasil hubungan baik Hamidin dengan presiden persatuan berkenaan.

Selain itu, skuad wanita negara juga dijemput ke kejohanan di Arab Saudi tahun lalu yang mana selain kita memperoleh siri perlawanan antarabangsa berkualiti, kos juga dapat dijimatkan sekitar RM600,000 apabila ia juga dibiayai oleh SAFF.

Skuad B-17 kebangsaan juga menikmati hasil daripada hubungan baik Hamidin apabila dibiayai oleh Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) untuk kem latihan pusat selama hampir sebulan pada Ramadan tahun lalu yang mana kosnya sekitar RM700,000.

Sekali lagi hubungan baik dengan Presiden QFA turut membantu dalam kita dapat menjimatkan kos sekitar RM700,000 untuk skuad B-23 kebangsaan yang terbang awal dua minggu ke Qatar sejak 1 April lalu untuk persiapan menjelang Piala Asia B-23 2024.

Di sebalik tanggapan ramai bahawa Hamidin tidak sepatutnya menerima gaji bulanan kerana hanya meningkatkan beban kewangan FAM, ia sebenarnya nyata meleset apabila kehadiran beliau lebih banyak membawa kebaikan dan keuntungan kepada FAM.

Ia sepatutnya dipandang dari sudut positif yang mana kita perlu melihat Hamidin sentiasa 'all out' tidak kiralah dalam usaha mendapatkan penajaan bagi FAM, menjaga aliran tunai persatuan dengan baik serta menjaga pasukan-pasukan kebangsaan umpama anak cucu beliau sendiri.

Semuanya kerana keghairahan serta rasa cinta beliau terhadap bola sepak, demi lencana di dada!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 5:20 PM