PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berjabat tangan dengan Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani selepas menandatangani kerjasama MoU di di Al-Bidda Tower, Doha. FOTO FAM
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berjabat tangan dengan Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani selepas menandatangani kerjasama MoU di di Al-Bidda Tower, Doha. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengorak langkah apabila menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara.

QFA yang berpengalaman menganjurkan Piala Dunia Qatar pada tahun lalu selain muncul juara Piala Asia pada 2019 akan berkongsi kepakaran meliputi enam bidang iaitu pendidikan kejurulatihan; pembangunan pengadil; bola sepak wanita; perlawanan persahabatan, kem untuk pasukan kebangsaan belia; struktur dan operasi perlawanan belia serta yang terakhir pembangunan futsal.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani itu bakal membawa manfaat besar buat arena bola sepak Malaysia dan skuad Harimau Malaya.

"Akademi Aspire (akademi pembangunan bola sepak di Qatar) ini sememangnya mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita," katanya.

Difahamkan, MoU selama setahun ini akan diperbaharui secara automatik setiap setahun dengan tempoh perjanjian tidak lebih lima tahun.

Sebagai permulaan, skuad Bawah 17 tahun negara (B-17) sudah menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar dan enam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebagai persediaan untuk mengharungi aksi Piala Asia B-17 2023 yang bakal berlangsung di Thailand, bulan depan.

Ujar Hamidin lagi, dalam perjanjian ini kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam membina hubungan yang erat antara persatuan masing-masing demi manfaat bersama juga promosi, pertumbuhan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.

"Ini juga bagi melindungi nilai dan tradisi sukan ini memandangkan bola sepak bukan sahaja untuk aktiviti ekonomi, tetapi ia juga instrumen sosial dalam persefahaman antarabangsa," katanya.

Di Doha ketika ini, Hamidin juga dijadual menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa pengelola Piala Asia 2023 dan mesyuarat jawatankuasa Exco AFC yang turut diadakan di Doha, hari sama.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 10:30 AM