AGUS meninggal dunia Khamis lalu pada usia 77 tahun. FOTO AGENSI
AGUS meninggal dunia Khamis lalu pada usia 77 tahun. FOTO AGENSI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemergian legenda bola sepak Malaysia dan Selangor era 60an, Agus Salim Abdul Rahman nyata mengejutkan bekas pemain dan pentadbir bola sepak tempatan.

Allahyarham Agus Salim yang dilahirkan pada 17 Januari 1947 menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun, Khamis lalu.

Pemergian wira nyata meruntun hati beberapa tokoh termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed yang menzahirkan ucapan takziah buat keluarga arwah.

"Arwah Agus adalah seorang pemain bola sepak yang ramai peminat di era kegemilangan bola sepak Selangor dan Malaysia suatu ketika dulu.

"Banyak sumbang bakti yang sudah diberikan oleh Allahyarham dan seharusnya pemergiannya turut diingati.

"Moga keluarga Allahyarham kuat dan tabah menerimanya," kata Firdaus yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain ucapan takziah itu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) turut menzahirkan perasaan sama.

"Turut menziarahinya Khamis lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan kalangan yang beriman," kata Yakeb menerusi laman Instagram.

Sumbangan Allahyarham kepada bola sepak negara dan Red Giants cukup besar.

Antaranya adalah kejayaan membantu Selangor muncul naib juara Kejohanan Kelab-kelab Asia 1967 (sekarang dikenali ACL) selepas tumbang kepada kelab Israel, Hapoel Tel Aviv 2-1 pada 19 Disember 1967 lalu.

Allahyarham juga pernah membantu skuad Harimau Malaya menduduki tempat keempat dalam Pestabola Merdeka 1967 selepas ditewaskan Vietnam Selatan 2-1 pada 25 Ogos tahun itu.

Terdahulu skuad negara disekat Korea Selatan 3-1 pada separuh akhir dan muncul naib juara Kumpulan B tanpa kalah yang turut disaingi India, Hong Kong, Australia Barat dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 4:35 PM