HASNAN meninggal dunia pagi tadi akibat kanser paru-paru.
HASNAN meninggal dunia pagi tadi akibat kanser paru-paru.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Legenda bola sepak Terengganu, Hasnan Ahmad, 61, meninggal dunia akibat kanser paru-paru, pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, bekas pertahanan kental skuad Terengganu era 1980-an hingga 1990-an itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada 2.15 pagi.

"Arwah menghembuskan nafas terakhirnya di HSNZ pada pagi tadi akibat kanser paru-paru tahap empat.

"Sepanjang kariernya bersama Terengganu, Allahyarham seorang pemain pertahanan yang berdisiplin dan kental serta disenangi rakan seperjuangannya.

"Kehilangan arwah begitu dirasai dalam sukan bola sepak negeri, bagi yang mengenalinya, mohon doa agar rohnya dicucuri rahmat," katanya Mohd Sabri.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu tengah hari tadi selepas selesai solat jenazah di Surau Lot Perpindahan, Gong Badak, Kuala Nerus.

Allahyarham pernah membuka akademi bola sepak di Terengganu bersama bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Raimi Jamil.

Allahyarham pernah menjadi jurulatih kelab pertama dari Terengganu, T-Team pada 2006 hingga 2007 selain bergelar ketua jurulatih Penjara FC pada 2016.

Selasa lalu, dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan pemergian lagenda bola sepak negara dan Terengganu era 1970-an yang pernah menyertai sukan Olimpik di Munich 1972, Harun Jusoh akibat radang sendi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 4:00 PM