AKSI Dimarco cuba menembusi gawang Empoli. FOTO AFP
AKSI Dimarco cuba menembusi gawang Empoli. FOTO AFP
Reuters

Milan: Inter Milan semakin menghampiri gelaran Serie A selepas jaringan Federico Dimarco dan Alexis Sanchez memastikan kemenangan 2-0 ke atas Empoli di tempat sendiri awal pagi tadi.

Inter selaku pendahulu meraih 79 mata, 14 mata meninggalkan AC Milan di tangga kedua dengan baki lapan perlawanan dan jurang besar itu bermakna Inter berpotensi mengesahkan gelaran Scudetto ketika aksi derby menentang Milan pada 22 April.

Kekalahan menyebabkan Empoli yang berada di tangga ke-18 jatuh ke zon penyingkiran, berkongsi 25 mata dengan Frosinone di tangga ke-17 dan satu mata di depan pasukan di tangga ke-19 Sassuolo.

Pengurus Inter Simone Inzaghi yang meraikan kemenangan ke-100nya hilang suara ketika perlawanan dan penolong pengurus Massimiliano Farris mengambil alih tugas ketika sidang media bersama wartawan.

"Taktik menjadi seperti dirancang, pertahanan bergerak lancar dan juga kemampuan bahagian tengah menutup ruang. Semua itu hasil kerja berpasukan," katanya kepada DAZN.

"Kami melakukannya dengan lebih baik pada babak kedua dan pemain gantian memberikan kami kelebihan untuk mendapatkan keputusan malam ini." .

Untuk aksi seterusnya, Inter akan menentang Udinese di tempat lawan Isnin ini manakala Empoli melayan kunjungan Torino pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:20 AM