PEMAIN Atalanta,  Papu Gomez dikasari pemain Lazio di Bergamo, awal pagi tadi. FOTO AFP
PEMAIN Atalanta, Papu Gomez dikasari pemain Lazio di Bergamo, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

PENCABAR kejuaraan Lazio mengalami kekalahan pertama Serie A dalam tempoh sembilan bulan apabila tewas 2-3 di Atalanta sekali gus kekal empat mata di belakang pendahulu, Juventus.

Lazio yang beraksi kali pertama sejak 29 Februari lalu susulan pandemik koronavirus terlebih dahulu di depan hasil jaringan sendiri Marten De Roon pada minit keenam dalam aksi di Bergamo dan Sergej Milinkovic-Savic menggandakan kelebihan lima minit kemudian.

Bagaimanapun, tandukan Robin Gosens merapatkan jurang buat Atalanta tujuh minit sebelum rehat sebelum Ruslan Malinovskyi menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang pada minit ke-66.

Jose Luis Palomino mengesahkan kemenangan skuad tuan rumah menerusi jaringan ketiga 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Lazio yang memburu gelaran ketiga Serie A selepas 1974 dan 2000 hanya tewas tiga kali dalam aksi liga musim ini.

Kali terakhir mereka tewas sebelum ini di tangan Inter Milan pada 25 September.

"Kami tahu menentang Atalanta sudah pasti sukar," kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi yang pasukannya seri 3-3 dengan skuad Bergamo itu di Rome pada Oktober lalu.

"Misi memburu kejuaraan semakin sukar dan kami kesal selepas tidak tewas untuk tempoh yang lama. Saya tak suka kalah dan pemain juga tampak seperti hilang semangat."

Atalanta kini empat mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Inter Milan yang seri 3-3- di tempat sendiri menentang Sassuolo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 9:47 AM