LEAO meraikan jaringan ketika menentang Verona. FOTO AFP
LEAO meraikan jaringan ketika menentang Verona. FOTO AFP
AFP

Milan: Rafael Leao menamatkan minggu sukar dengan menjaringkan gol ketika AC Milan menewaskan Verona 1-0 semalam manakala Juventus tewas kali pertama musim ini, 4-2 di Sassuolo.

Pemain sayap Portugal Leao meledak gol minit kelapan di San Siro untuk melonjakkan Milan ke tangga kedua dengan 12 mata daripada lima perlawanan.

Inter Milan pula selaku pendahulu mengekalkan permulaan 100 peratus akan menentang Empoli hari ini.

Jaringan kemenangan Leao memberikan kelegaan kepada tuan rumah yang tampil hambar tanpa kapten Davide Calabria yang mengalami kecederaan serta gandingan dua pemain Perancis Mike Maignan dan Theo Hernandez.

Namun ia tiga mata berharga selepas tewas kepada pencabar setempat Inter hujung minggu lalu dan hanya seri dengan Newcastle United dalam aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu.

Juventus pula dua mata di belakang kelab Milan selepas kekalahan memalukan di Sassuolo.

"Kami perlu bangkit semula. Kami bermula ok tetapi gagal memanfaatkan beberapa peluang," kata jurulatih Massimiliano Allegri kepada DAZN.

"Mereka menjaringkan gol pada percubaan pertama dan kemudiannya kami hilang tumpuan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 9:27 AM