PEMAIN Iran, Alireza Jahanbakhsh (kanan) mengasak pemain Hong Kong di Stadium Hong Kong. - FORO AFP
PEMAIN Iran, Alireza Jahanbakhsh (kanan) mengasak pemain Hong Kong di Stadium Hong Kong. - FORO AFP
Reuters

IRAN menepati ramalan selepas menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 malam tadi sementara penyerang kelahiran Brazil, Elkeson menjaringkan dua gol ketika China membelasah Maldives 5-0 di tempat lawan.

Iran memburu penampilan keenam Piala Dunia dan ketiga berturut-turut meraih mata maksimum dalam aksi Kumpulan C selepas mengatasi saingan sengit Hong Kong yang penyokong mereka mengejek lagu kebangsaan China ketika dimainkan sebelum sepak mula.

Sardar Azmoun meletakkan Iran di depan pada pertengahan babak pertama menerusi rembatan kencang sebelum Karim Ansarifard mengesahkan kemenangan pelawat sembilan minit sebelum tamat permainan.

"Kami meraih tiga mata daripada perlawanan ini, jadi saya fikir ia keputusan positif,” kata jurulatih Iran, Marc Wilmots yang pertama kali mengendalikan aksi kompetitif bersama Iran.

"Kami berdepan tembok kebal Hong Kong namun berjaya juga mendapatkan dua gol dan beberapa lagi peluang menjaringkan gol.

"Ini baharu permulaan persiapan dan kami akan menjadi lebih baik selepas ini.”

Iran satu mata di belakang pendahulu, Bahrain yang menang 1-0 di Kemboja tetapi beraksi kurang satu perlawanan.

Elkeson beraksi kali pertama bersama China selepas menukar kerakyatan dan penyerang Guangzhou Evergrande itu menjaringkan dua gol termasuk sepakan penalti ketika skuad Marcello Lippi membelasah Maldives di Male dalam aksi Kumpulan A.

China kini berkongsi tiga mata bersama Filipina yang kembali meraih kemenangan ke atas Guam 4-1 selepas tewas aksi pembukaan kepada Syria.

Satu lagi kuasa Asia, Jepun menang 2-0 ke atas Myanmar di Yangon dalam aksi kumpulan F menerusi jaringan Shoya Nakajima dan Takumi Minamino. Tajikistan mengetuai kumpulan selepas meraih kemenangan kedua dengan menewaskan Mongolia 1-0 di tempat lawan.

Yaman hampir mengejutkan Arab Saudi selepas dua kali mendahului dalam aksi awal pagi tadi tetapi dua jaringan Salem Al Dawsari membolehkan skuad Herve Renard mengikat keputusan 2-2 dalam aksi Kumpulan D. Singapura pula menewaskan Palestin 2-1.

Australia meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Kuwait dalam Kumpulan B manakala Anjan Bista menjaringkan dua gol ketika Nepal mengatasi cabaran Taiwan 2-0.

Dalam Kumpulan E, India mengikat juara Asia, Qatar 0-0 di Doha manakala Afghanistan menang tipis 1-0 ke atas Bangladesh.

Jang Kuk Chol menjaringkan gol tunggal ketika Korea Utara menewaskan Sri Lanka bagi meraih enam mata dalam Kumpulan H, tiga mata mengatasi Korea Selatan yang memulakan kempen dengan mengatasi Turkmenistan 2-0.

Lapan pemenang peringkat kumpulan dan empat pasukan terbaik tempat kedua mara ke peringkat ke pusingan ketiga kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:56 AM