PEMAIN KDA FC berkumpul sebelum perlawanan Liga Super musim lalu. FOTO FB KDA FC
PEMAIN KDA FC berkumpul sebelum perlawanan Liga Super musim lalu. FOTO FB KDA FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Krisis tunggakan gaji membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih tidak menemui titik penyelesaian, malah situasi semakin mencengkam.

Beberapa pemain KDA FC menghubungi Arena Metro bagi meluahkan kemelut dihadapi dengan majoriti mengakui masih tidak menerima baki tunggakan gaji selama empat bulan.

Jelas, tahap kesabaran pemain nyata sudah melebihi titik tertinggi.

Difahamkan oleh sumber, tunggakan gaji empat bulan dari September itu sepatutnya selesai pada hari ini (31 Januari 2024), seperti dipersetujui antara pemain dan pengurusan pasukan.

Namun, selepas semakan di akaun bank masing-masing pada hari ini, wang tunggakan itu masih belum dikreditkan, sekali gus pemain merasakan seolah-olah mereka dianiaya dan tertipu.

"Sepatutnya hari ini tunggakan kami itu selesai selepas kami semua setuju beri tempoh sehingga 31 Januari 2024 kepada pengurusan.

"Masuk sekarang dah empat bulan. Kami semua susah, hari-hari bank kejar minta bayaran komitmen bulanan. Kami ada keluarga dan apa yang pihak pengurusan buat ini memang tak betul.

"Kami sudah bagi peluang, bukan tak bagi. Tapi kami kecewa bila gaji kami masih tak dibayar. Pihak pengurusan ada nak jumpa kami hari ini, dengarnya nak minta tempoh lanjutan lagi.

"Tapi kami tak mahu jumpa sebab sudah terlampau lama," kata pemain itu yang beraksi dengan pasukan KDA FC di Liga Super, musim ini.

Seorang lagi pemain yang beraksi untuk KDA FC B di Piala MFL (Liga Simpanan B-23) mengakui berdepan situasi sama dan memohon tunggakan gaji dibayar segera.

"Tolong kami abang (kepada wartawan Harian Metro). Kami dah tak tahu nak minta tolong siapa lagi.

"Kedah masih tak bayar gaji ini abang. Janji tinggal janji. Hari ini tarikh akhir. Dia (KDA FC) janji dengan PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) pun macam itu juga," kata pemain muda itu.

Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu, KDA FC menerusi pemilik pasukan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukannya memang mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di platform Facebook KDA FC, Mohd Daud tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah terutama peminat bola sepak negeri itu serta memohon maaf kepada barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu.

Beliau berjanji 'tidak akan lari' daripada tanggungjawab dan akan memikul untuk melangsaikan serta menyelesaikan tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 6:46 PM