PENCUCI pinggan di kedai makan antara ‘karier baharu’ beberapa pemain Kedah. FOTO Agensi
PENCUCI pinggan di kedai makan antara ‘karier baharu’ beberapa pemain Kedah. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Ada pemain terpaksa kerja cuci pinggan di kedai makan dan ada juga kerja kantin sekolah untuk teruskan kelangsungan hidup. Pengurusan pasukan terus diam, tak dengar khabar berita, senyap dan terus senyap".

Itu keluhan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang terus buntu dan tertanya-tanya mengenai status tunggakan gaji yang masih sangkut selama empat bulan.

Jelas sumber, rata-rata pemain kebingungan hingga ada yang terpaksa bekerja sambilan di restoran sebagai pencuci pinggan, malah ada yang turut bekerja di kantin sekolah.

"Tak ada (gaji tak bayar lagi). Selepas media dedahkan pasal isu ini awal bulan ini, pengurusan masih senyap saja. Tak ada apa-apa berita pasal tunggakan gaji. Ramai pemain tak tahu nak buat apa. Saya dengar, ada pemain kerja di kantin sekolah. Ada juga pemain Piala Presiden dan Belia buat kerja cuci pinggan di kedai," kata sumber terbabit kepada Arena Metro.

Terdahulu Arena Metro melaporkan krisis tunggakan gaji membabitkan KDA FC masih tidak menemui titik penyelesaian, malah situasi semakin mencengkam.

Bukan saja skuad senior yang beraksi di Liga Super tidak dibayar gaji, situasi sama turut dialami pasukan bawahan kelab itu.

Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu, KDA FC menerusi pemilik pasukan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukannya memang mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di platform Facebook KDA FC, Mohd Daud tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah terutama peminat bola sepak negeri itu serta memohon maaf kepada barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu.

Beliau berjanji 'tidak akan lari' daripada tanggungjawab dan akan memikul untuk melangsaikan serta menyelesaikan tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 4:40 PM