NAIB Presiden PFAM, Razman Roslan. -FOTO Arkib
NAIB Presiden PFAM, Razman Roslan. -FOTO Arkib
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menggesa pemain yang mengalami masalah tunggakan gaji untuk tampil melakukan laporan secara rasmi kepada pihak mereka.

Naib Presiden PFAM, Razman Roslan berkata, pihaknya hanya boleh bertindak sebaik saja ada laporan sebaliknya jika tidak, mereka tidak boleh melakukan langkah seterusnya.

"Kita harap pemain yang terbabit dengan tunggakan ini dapat melaporkan kepada PFAM supaya kita dapat buat kita punya kerja. Maksudnya kita boleh mengikuti prosedur yang betul, kita akan hantar surat semua. Kalau ikut media sosial ini memang macam-macam dan kita tidak boleh buat tindakan apa-apa.

"Kita harap pemain yang berkenaan tampil buat tindakan susulan apa yang patut dan identiti mereka sudah pasti kita akan rahsiakan. Yang penting mereka kena tampil sendiri buat laporan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika ini mengalami tunggakan gaji sehingga lima bulan.

Sumber dalaman dipercayai turut mengesahkan pasukan itu sememangnya mengalami tunggakan gaji tetapi untuk pemain, hanya tiga bulan yang belum dibayar dan pihak pengurusan memaklumkan untuk melunaskan tunggakan itu kepada pemain pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 2:32 PM