HAALAND (empat dari kiri) memeluk Alvarez selepas menjaringkan gol pendahuluan untuk City. FOTO AFP
HAALAND (empat dari kiri) memeluk Alvarez selepas menjaringkan gol pendahuluan untuk City. FOTO AFP
AFP

Leipzig: Julian Alvarez dan Jeremy Doku masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan dua gol bagi memastikan Manchester City menang 3-1 ke atas RB Leipzig pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Berdepan Leipzig buat kali ketiga berturut-turut dalam kejohanan itu, City menguasai perlawanan sejak awal dan Phil Foden menjaringkan gol pembukaan selepas umpanan bek sayap muda, Rico Lewis.

Bagaimanapun, Leipzig yang ketinggalan pada babak pertama, menyamakan kedudukan selepas rehat menerusi Lois Openda hasil serangan balas pantas.

Tetapi, pada ketika Leipzig terlalu mengikat Erling Haaland, yang menjaringkan lima gol dalam tempoh 60 minit pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, rakan sepasukannya, Alvares pula yang menjaringkan gol penting lima minit selepas dimasukkan.

Doku mengesahkan kemenangan menerusi gol ketika masa kecederaan.

Foden memuji Alvarez dan menyifatkan jaringannya sebagai "gol ajaib dan seseorang yang diperlukan pasukan untuk menjaringkan gol pada detik penting."

"Dia masuk dan mengubah perlawanan, Dia pemain sangat penting untuk kami."

Pengurus City, Pep Guardiola turut memuji pasukannya yang sempurna dan berkata: "Kami menguasai perlawanan dengan banyak hantaran dan apabila pasukan mampu melakukannya, perkara sangat bagus akan berlaku kepada anda."

"Kami bermain perlawanan menarik menakjubkan di semua bahagian."

City turun untuk perlawanan itu dengan dua kekalahan berturut-turut yang kali pertama dialami sejak Januari lalu.

Pada sidang media sebelum perlawanan, Guardiola berkata, kemenangan akan meletakkan kekalutan dalam pasukannya ketika ini kembali ke perspektif.

"Orang akan mengatakan, awak sudah kalah, apa yang berlaku?. Tetapi, anda harus tahu selepas apa yang kami menang sepanjang musim lalu, kami masih di sini, tetap ada kesungguhan dan semangat."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 8:07 AM