GOMEZ kini jadi sandaran Liverpool di bek kiri. -FOTO AFP
GOMEZ kini jadi sandaran Liverpool di bek kiri. -FOTO AFP
Reuters

London: Liverpool berharap dan berdoa agar pemain pertahanan Joe Gomez tidak berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan kata pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Jurgen Klopp.

Ia susulan pemain Liverpool, Kostas Tsimikas mengalami kecederaan patah tulang selangka ketika mereka seri 1-1 dengan Arsenal, menyebabkan pasukan Merseyside hanya mempunyai beberapa pilihan di bek kiri dengan pertahanan pilihan pertama Andy Robertson turut diketepikan akibat kecederaan bahu.

Gomez mungkin akan mengisi di bek kiri sehingga Robertson kembali.

"Ia bagi kami jelas sangat sukar. Anda kadang-kadang mengalami kecederaan dan kami menerima kesemuanya, tetapi patah tulang selangka itu sangat teruk kerana ia mengambil masa yang lama untuk sembuh," kata Klopp menjelang pertembungan Selasa ini menentang Burnley di Turf Moor.

"Sama seperti yang dialami Robbo (Robertson), kecederaan yang berbeza tetapi itu mengambil masa yang lama juga sebagaimana yang kita semua tahu.

"Kami semua tahu kami memerlukan tuah pada saat-saat ini untuk melaluinya dan sekarang kami mempunyai Joey (Gomez) di sana dan hanya perlu memastikan dia sentiasa bersedia untuk perlawanan itu."

Liverpool kini berkedudukan kedua liga akan berdepan Burnley yang menghuni tangga ke-19 selepas menewaskan Fulham 2-0 dalam perlawanan liga terakhir mereka untuk keluar dari kedudukan tercorot.

Klopp berkata dia percaya Burnley lebih baik daripada keputusan yang mereka ada sekarang.

"Saya menonton beberapa perlawanan Burnley dan saya cukup kagum dengan apa yang mereka lakukan dan pada hari Sabtu mereka mendapat ganjaran," katanya.

"Kita semua tahu jika anda menang sekali dan anda mempunyai peluang untuk bermain dalam tiga hari lagi maka anda akan mahu menang lagi dan itulah yang kami jangkakan dan suasana yang cukup baik juga. Lebih baik kami bersedia."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 3:11 PM