PRESTASI Benzema (kanan) tidak disenangi pengurusnya.
PRESTASI Benzema (kanan) tidak disenangi pengurusnya.
Agensi

London: Nuno Espirito Santo dan Karim Benzema dilapor terbabit dengan pertelagahan di bilik persalinan sebelum pengurus itu dipecat semalam.

Al-Ittihad berpisah dengan bekas jurulatih Tottenham itu selepas hanya lebih setahun mengendalikan kelab.

Santo membawa kelabnya menjuarai gelaran Liga Pro Saudi musim lalu tetapi Al-Ittihad kini hanya menduduki tangga keenam selepas tewas di tangan Al-Shabab, Jumaat lalu.

Ia disusuli dengan kekalahan kepada kelab Iraq, Al-Quwa Al-Jawiya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, kelmarin.

Menurut laporan, Santo dan Benzema terbabit dengan pertelagahan dalam bilik persalinan selepas tamat perlawanan menentang Al-Quwa.

Bintang Perancis itu menyertai Al-Ittihad pada musim panas dengan gaji dilapor £1.6 juta (RM9.2 juta) seminggu dan menjaringkan enam gol dalam 12 penampilan tetapi dia turut menjadi sasaran kemarahan Nuno.

Santo dikatakan memberitahu bekas pemain Real Madrid itu: "Anda pemain hebat tetapi anda nampak terlalu malas untuk menekan lawan.

Benzema yang kurang senang dengan kritikan itu membalas: "Jangan hanya cakap kepada saya, beritahu kepada semua pemain."

Bekas jurulatih Wolves itu kemudiannya menambah lagi: "Anda pemimpin pasukan, contoh kepada pemain lain dan atlet paling penting dalam skuad. Anda perlu mengambil inisiatif dan memberikan contoh kepada semua yang lain."

Benzema difahamkan terus menafikan pendapat Santo yang menganggapnya malas manakala pengurus itu pula berpisah dengan Al-Ittihad keesokan harinya.

Seorang lagi bekas pengurus Wolves dikaitkan dengan juara Arab Saudi itu. Julen Lopetegui dilaporkan menjadi idaman Al-Ittihad selepas meninggalkan Wolves pada Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:26 PM