BENZEMA tiba lewat 17 hari bersama pasukan selepas cuti pertengahan musim. FOTO AFP
BENZEMA tiba lewat 17 hari bersama pasukan selepas cuti pertengahan musim. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Karim Benzema mahu meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Ittihad selepas berbalah dengan pihak pengurusan, kata sumber rapat dengan kelab itu kepada AFP.

Kata sumber itu, bekas penyerang Real Madrid berusia 36 tahun itu mengadakan pertemuan panas dengan pengurusan dan pengendali kelab dari Argentina, Marcelo Gallardo pada Jumaat lalu.

Benzema memberitahu jurulatih dan pengurusan kelab betapa "dia tidak merasa mampu memberikan yang terbaik kerana tekanan hebat di Ittihad."

"Benzema meminta untuk meninggalkan Ittihad buat sementara waktu untuk berubah atmosfera," kata sumber itu.

Al-Ittihad bercadang meminjamkan penyerang Perancis itu kepada kelab Liga Pro Saudi lain, tetapi dia enggan.

Bagaimanapun, ejen Benzema enggan mengulas lanjut ketika dihubungi AFP.

Pemenang Ballon d'Or 2022 itu yang muncul antara pemain berprofil tinggi paling tinggi di Arab Saudi tahun lalu dan dilaporkan menerima 100 juta euro (RM514.19 juta) semusim, kembali ke kelab itu lewat 17 hari selepas cuti pertengahan musim.

Menurut sumber, sejak itu dia berlatih sendiri di Jeddah dan tidak dibenarkan menyertai kem latihan bersama rakan lain di Dubai kerana masalah disiplin.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dilaporkan berminat mendapatkan Benzema ketika jendela perpindahan pemain bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 10:56 AM