KARIM Benzema ledak gol sulung buat Al-Ittihad. FOTO FB
KARIM Benzema ledak gol sulung buat Al-Ittihad. FOTO FB
Reuters

Taif, Arab Saudi: Bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzima tidak menunggu lama untuk mempamerkan belangnya bersama kelab Baharu, Al-Ittihad apabila muncul wira pasukan ketika aksi Piala Juara-Juara Kelab Arab, awal pagi tadi.

Benzema yang juga pemenang Ballon d'Or meledak gol kemenangan ke atas kelab Tunisia, Esperance apabila kelabnya menang 2-1, di mana ia adalah penampilan sulungnya buat pasukan baharunya itu.

Bercakap kepada saluran televisyen Arab Saudi selepas aksi itu, Benzema akui ia perlawanan yang sukar namun tetap berpuas hati dengan persembahannya.

"Kami lalui perlawanan yang sukar dan ia permulaan baik selepas kerja keras dalam latihan. Sedikit demi sedikit kami sedang memperkuatkan pasukan," kata pemain kebangsaan Perancis itu.

Dia yang menyertai Al-Ittihad sebagai ejen bebas selepas bersama Real Madrid selama 14 musim dan meraih pelbagai kejuaraan sepanjang itu akui amat menghargai sokongan padu penyokong yang bersorak namanya sepanjang perlawanan.

"Suasana di stadium amat menggamatkan dan peminat mencetus motivasi pasukan dari minit pertama hingga ke akhir.

"Kami berada dalam kondisi yang bagus dan akan terus berlatih untuk mencapai tahap diperlukan dan kami tahu dengan sokongan ini kami boleh meraih sesuatu yang hebat, terima kasih kepada penyokong," katanya.

Benzema adalah antara senarai panjang bintang bola sepak dunia yang mewarnai saingan Liga Arab Saudi bersama Cristiano Ronaldo, N'Golo Kante, Roberto Firmino, Edouard Mendy, Sergej Milinkovic-Savic dan Marcelo Brozovic dan Sadio Mane.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 7:58 AM