SALAH mahu kekal bersama Liverpool. FOTO AP
SALAH mahu kekal bersama Liverpool. FOTO AP
Agensi

London: Mohamed Salah kekal komited bersama Liverpool, menurut ejennya, di tengah-tengah spekulasi dia menerima tawaran lumayan untuk berhijrah ke Arab Saudi.

Akhbar Saudi, Al Riyadiah mendakwa Al-Ittihad menawarkan kontrak dua tahun bernilai £155 juta (RM903.2 juta) untuk Salah sebagai tambahan kepada yuran perpindahan £52 juta (RM303 juta).

Salah, 31, sudah menandatangani lanjutan kontrak tiga tahun pada musim panas lalu yang menyaksikannya kekal bersama Liverpool sehingga Jun 2025.

"Mohamed kekal komited bersama LFC (Liverpool FC)," kata ejen Salah, Ramy Abbas menerusi catatan di media sosial.

"Jika kami mempertimbangkan untuk meninggalkan LFC tahun ini, kami tidak akan memperbaharui kontrak pada musim panas lalu," katanya lagi.

Pemain tengah, Fabinho dan Jordan Henderson masing-masing dijual kepada Al-Ittihad dan El-Ettifaq oleh Liverpool pada musim panas ini, manakala Roberto Firmino berhijrah ke Al-Ahli selepas tamat kontraknya di Anfield.

Salah sudah menjaringkan 186 gol dalam 305 perlawanan sejak menyertai Roma pada 2017.

Bintang Mesir itu sudah memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga, Piala Dunia Kelab Fifa dan Piala Super Uefa semasa di Anfield.

Dia juga memenangi tiga Kasut Emas EPL dan dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan PFA sebanyak dua kali semasa bersama pasukan bimbingan Jurgen Klopp.

Liga Pro Saudi berjaya memikat beberapa nama terbesar sejak pemenang Ballon d'Or lima kali, Cristiano Ronaldo menyertai Al-Nassr, Januari lalu dari Manchester United.

Pemenang Ballon d'Or terkini, Karim Benzema dan Fabinho, serta bekas pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante dan bekas pemain sayap Celtic, Jota, kesemuanya menyertai Al-Ittihad, yang kendalikan bekas bos Tottenham dan Wolves, Nuno Espirito Santo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 7:45 AM