JURULATIH Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO Asrol Awang
JURULATIH Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji kebangkitan luar biasa skuad itu apabila mengikat Terengganu FC (TFC) 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, dua jaringan pada babak kedua selepas ketinggalan 0-2 membuktikan bahawa pemain tidak mengenal erti berputus asa.

"Saya puji semangat yang dipersembahkan pemain yang tidak berputus asa dan bangkit pada babak kedua untuk memastikan sekurang-kurangnya pasukan tidak tewas.

"Alhamdulillah, kita bernasib baik apabila `angin kedua' datang dan berjaya menjaringkan dua gol sekali gus Sri Pahang mencatat keputusan seri ketika Terengganu mendahului 0-2," katanya.

Mengulas ketinggalan 0-2 terutama persembahan kurang menjadi pada babak pertama, Fandi berkata, tempoh rehat sebulan tanpa perlawanan menjejaskan prestasi pasukan itu.

Katanya, anak buahnya gagal untuk menyesuaikan diri apabila lawan lebih banyak menguasai perlawanan sehingga ketinggalan dua gol pada satu ketika.

"Terengganu lebih banyak beraksi terutama Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Piala Malaysia berbanding Sri Pahang hanya aksi persahabatan bersama pasukan dari kelab M3 dan M4.

"Namun, saya tetap gembira kerana kita tidak terlepas mata kerana misi kita menang atau seri untuk memastikan Sri pahang berada dalam kedudukan lima terbaik," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol TFC dijaringkan pemain import, David Nazari minit ke-25 dan 72 manakala Sri Pahang pula masing-masing satu dijaringkan oleh Rafael Silva dan Sergio Aguero pada minit ke-78 dan 80.

Selepas 22 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengutip 44 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 1:36 PM