PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner. FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tetap berpuas hati selepas seri 2-2 berdepan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Biarpun mendahului 2-0 dan keputusan dilihat bakal berpihak kepada TFC, jurulatih berasal dari Croatia berkata, beberapa kesilapan yang dilakukan pada babak kedua menyaksikan kelab itu akur terpaksa berkongsi mata.

"Pada perlawanan ini (malam tadi) kami mendominasi permainan termasuk pada babak kedua tetapi Sri Pahang berjaya menjaringkan dua gol dari jarak jauh.

"Kami turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi penyudahnya tidak disempurnakan. Namun, saya tetap berbangga dan tahniah kepada semua pemain," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol TFC dijaringkan pemain import, David Nazari minit ke-25 dan 72 manakala Sri Pahang pula masing-masing satu dijaringkan oleh Rafael Silva dan Sergio Aguero pada minit ke-78 dan 80.

Ditanya TFC menyenaraikan barisan kedua berdepan Sri Pahang, beliau menafikannya kerana ia adalah pemain terbaik kelab itu dan mereka mempunyai pengalaman.

"Ini bukan pasukan kedua kerana sebahagian besar pemain sangat berpengalaman dan banyak juga bermain.

"Mereka bermain sebagai satu perlawanan dan bermain dengan baik sebelum Sri Pahang menjaringkan dua gol," katanya.

Ketika ini, skuad Penyu berada di kedudukan keenam dengan mengutip 36 mata selepas mengharungi 23 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 1:31 PM