PEMAIN NSFC cuba melepasi kawalan pemain Sri Pahang. FOTO Sri Pahang FC.
PEMAIN NSFC cuba melepasi kawalan pemain Sri Pahang. FOTO Sri Pahang FC.
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC bangkit daripada ketinggalan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama tidak mematahkan semangat untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Namun, pada perlawanan itu, Negeri Sembilan bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.

Dua gol pelawat, masing-masing satu dijaringkan oleh Levy Clement dan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit kelapan dan 15.

Ketinggalan 0-2 menyaksikan tuan rumah mula melakukan asakan ke kubu lawan dan pemain import, Michael Glassock menjaringkan gol tetapi dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside pada minit ke-22.

Namun, usaha itu berhasil apabila pemain pertahanan import, Stefeno Brundo menjaringan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-23 sekali gus merapatkan jurang gol 1-2.

Selang seminit, penyerang import Negeri Sembilan, Casangrande meletakkan skuadnya kembali selesa dengan mendahului 3-1.

Selepas itu Sri Pahang berusaha untuk menambah jaringan tetapi terpaksa akur keputusan 3-1 kekal sebaik tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang ketinggalan dua gol lebih banyak memberi tekanan kepada pelawat tetapi pertahanan kental menafikan tambahan jaringan buat Sri Pahang.

Sikap tidak berputus asa menyaksikan penyerang Tok Gajah, David Rowley menjaringkan gol kedua buat skuad itu pada minit ke-79.

Pada minit ke-89, Brundo menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan percuma sebelum Kpah Sherman meledak jaringan pada masa kecederaan sekali gus memastikan kemenangan buat Sri Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 10:42 PM