TONALI (kiri) didakwa ketagih berjudi. FOTO REUTERS
TONALI (kiri) didakwa ketagih berjudi. FOTO REUTERS
AFP

Rom: Pemain tengah antarabangsa Itali dan Newcastle United, Sandro Tonali digantung 10 bulan kerana berjudi, lapor Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu didapati bertaruh bagi perlawanan membabitkan bekas kelabnya, AC Milan sebelum menyertai Newcastle pada Julai lalu dengan yuran perpindahan 56 juta pounds (RM323.8 juta) yang menjadikannya pemain termahal dalam sejarah Itali.

Penggantungan itu bermakna Tonali akan terlepas baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan Kejohanan Eropah (Euro) 2024 di Jerman tahun depan, sekiranya Itali layak.

Dia adalah pemain Itali kedua digantung dalam bola sepak berikutan skandal judi yang menjadi tumpuan ketika rehat aksi antarabangsa, baru-baru ini.

Pemain Juventus, Nicolo Fagioli digantung selama tujuh bulan oleh tribunal disiplin FIGC, awal bulan ini.

Ejen Tonali mendakwa pelanggannya itu ketagih berjudi.

Pengurus Newcastle, Eddie Howe berkata, kelab itu memberi sokongan penuh terhadap pemain berkenaan.

"Kami akan menyokong dan melindungi Sandro serta memberikannya kasih sayang dan sokongan yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah dihadapinya itu," kata Howe pada Jumaat lalu.

"Kami melihatnya sebagai sebahagian daripada pasukan sejak beberapa tahun lalu. Kami bersamanya untuk jangka panjang."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 8:01 PM