ROBERTSON (kiri) meraikan jaringannya bersama Salah. FOTO Reuters
ROBERTSON (kiri) meraikan jaringannya bersama Salah. FOTO Reuters
Reuters

Wolverhampton: Liverpool menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-1 di tempat lawan sebentar tadi hasil dua gol lewat dalam kebangkitan cemerlang yang membawa The Reds berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tuan rumah mendominasi separuh masa pertama di Molineux dengan Hwang Hee-chan menjaringkan gol pada minit ke-7 selepas larian cemerlang Pedro Neto, sebelum Wolves terlepas beberapa peluang lain.

Liverpool tampil berubah pada separuh masa kedua dengan Cody Gakpo berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55 hasil hantaran Mohamed Salah.

Memakai lilitan kapten pada penampilan ke-200 EPL, Andy Robertson berjaya menghadiahkan gol kedua Liverpool melalui satu lagi hantaran Salah pada minit ke-85.

Liverpool berjaya menambah gol selepas Hugo Bueno menyentuh bola masuk ke gawangnya sendiri berpunca daripada rembatan Harvey Elliott.

Keputusan itu meletakkan Liverpool di puncak liga buat masa ini dengan 13 mata selepas lima perlawanan.

Wolves berada di tempat ke-15 dengan hanya mengumpul tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 10:20 PM