SALAH meraikan jaringan kedua Liverpool.
SALAH meraikan jaringan kedua Liverpool.
Reuters

Liverpool, England: Juara bertahan Liverpool terpaksa berdepan perlawanan ulangan selepas terikat 2-2 dengan Wolverhampton Wanderers dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Anfield awal pagi tadi.

Liverpool ketinggalan minit ke-26 susulan kesilapan penjaga gol Alisson apabila hantarannya dipintas Goncalo Guedes yang menolak bola ke gawang kosong.

Namun tuan rumah menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat selepas hantaran cantik Trent Alexander-Arnold disambut dengan rembatan voli Darwin Nunez yang menewaskan penjaga gol Wolves, Matija Sarkic.

Mohamed Salah meletakkan Liverpool di depan selepas rehat menerusi rembatan dalam kotak penalti susulan kesilapan pertahanan Wolves, Toti yang tertanduk bola ke belakang.

Wolves tidak putus dan terus mengasak kubu Liverpool dan berjaya menyamakan kedudukan apabila Hwang Hee-chan menolak bola di celah kaki Alisson selepas mendapat hantaran seorang lagi pemain gantian Matheus Cunha.

Pelawat hampir menyingkirkan Liverpool daripada kejohanan namun jaringan Toti dibatalkan selepas didapati ofsaid sekali gus menimbulkan kemarahan pengurus Wolves, Julen Lopetegui yang membantah keputusan pengadil.

"Ia permulaan yang bagus dan kami mendominasi perlawanan," kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp kepada ITV.

"Kami beraksi sangat baik tetapi kemudiannya kami melepaskan gol. Ia tidak sepatutnya berlaku tetapi kami semua tahu, Ali (Alisson) banyak kali menyelamatkan kami."

Bintang baru Liverpool, Cody Gakpo tampil kali pertama selepas berpindah dari PSV Eindhoven pada awal jendela perpindahan Januari.

"Dia (Gakpo) dapat menyesuaikan diri dengan permainan," kata Klopp. "Tidak mudah untuk aksi pertama. Kami tak boleh jangka yang sempurna tetap dia menunjukkan petanda positif. Kami perlu menjadikan dia lebih baik tetapi masanya akan tiba, tiada keraguan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 7:38 AM