FIRMINO meraikan gol kemenangannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
FIRMINO meraikan gol kemenangannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

ROBERTO Firmino meledak gol lewat permainan untuk membantu Liverpool mencatat kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp selesa dengan kelebihan 16 mata di tangga teratas Liga Perdana.

Rekod 14 kemenangan berturut-turut juara Eropah itu dilihat akan musnah selepas Raul Jimenez menyamakan kedudukan sekali gus menafikan gol pendahuluan Jordan Henderson.

Liverpool juga kehilangan khidmat Sadio Mane pada separuh masa pertama kerana berdepan kecederaan dan bernasib baik kerana penjaga gol, Alisson Becker turut cemerlang di babak kedua.

Seperti ketika melakar kemenangan dramatik bertemu Leicester, Aston Villa dan Crystal Palace di awal musim, begitulah juga kemenangan yang dilakar ke atas Wolves apabila Liverpool memperoleh gol kemenangan Firmino enam minit sebelum tamat perlawanan.

Liverpool yang yang kini melakar 22 kemenangan daripada 23 perlawanan liga, juga masih berbaki satu perlawanan berbanding pesaing di tempat kedua, Manchester City.

Kekalahan terbaru itu menyaksikan Wolves masih ketinggalan enam mata berbanding pasukan empat teratas liga.

Henderson meledak gol pertama Liverpool seawal minit ke-8 sebelum Jimenez menyamakan kedudukan minit ke-51.

Firmino kemudian melegakan kem Liverpool menerusi gol kemenangan minit ke-84 selepas menerima hantaran cantik dari Henderson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:52 AM