MUELLER (kiri) kembali dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol pembukaan Jerman. FOTO AFP
MUELLER (kiri) kembali dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol pembukaan Jerman. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Penyerang veteran, Thomas Mueller memulakan era selepas pemergian Hansi Flick dengan menjaringkan gol awal yang membolehkan tuan rumah Euro 2024 itu menang 2-1 ke atas Perancis pada aksi persahabatan, awal pagi hari ini.

Pemecatan Flick pada Ahad lalu menyebabkan Rudi Voeller terpaksa kembali membimbing pasukan buat kali pertama sejak 2005.

Pengendali sementara itu membawa masuk semula Mueller dalam kesebelasan utama dan tindakan itu membuahkan hasil awal apabila Mueller menjaringkan gol pada minit keempat.

Rakan sepasukan Mueller di Bayern, Leroy Sane menjaringkan gol kedua tuan rumah tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Tetapi, Sane menghadiahkan sepakan penalti seminit kemudian dan kapten Perancis, Antoine Griezmann menyempurnakannya, tetapi Jerman menang 2-1 - yang juga kemenangan kedua dalam tujuh perlawanan selepas tersingkir di peringkat kumpulan di Piala Dunia Qatar 2022.

"Gol awal itu memang bagus untuk kami," kata Muller selepas perlawanan.

"Kami sedar banyak lagi kerja yang perlu dilakukan. Bukan mudah buat kami selepas rentetan aksi tidak bagus dan pemecatan Hansi Flick minggu lalu adalah situasi gila."

Penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen turut lega dengan kemenangan itu.

"Ia adalah penawar kepada jiwa. Ia adalah beberapa hari yang membimbangkan dan sukar, jadi amat baik apabila kami mengakhirinya dengan kemenangan. Ini adalah sesuatu yang amat kami perlukan."

Voeller berkata, kemenangan iytu adalah pembebasan buat semua mereka termasuk dirinya, pemain serta FA Jerman (DFB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 8:12 AM