GORETZKA (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
GORETZKA (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut.

Ia selepas gol kemenangan lewat permainan Leon Goretzka membantu kelab itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Borussia Moenchengladbach di Allianz Arena, hari ini.

Penyerang muda, Joshua Zirkzee meletakkan Bayern di depan sebelum jaringan sendiri Benjamin Pavard menyaksikan kedudukan terikat 1-1 namun Goretzka menjaringkan gol ketiganya sepanjang lima perlawanan liga ketika perlawanan berbaki empat minit.

"Menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan yang membuka peluang luas untuk kami mengesahkan kejuaraan liga adalah sesuatu yang amat bermakna," kata Goretzka.

Meskipun tanpa Robert Lewandowski dan Thomas Mueller yang digantung perlawanan, Bayern masih mampu melakar kemenangan kali ke-13 berturut-turut di semua pertandingan.

Kemenangan terbaharu itu sekali gus menyaksikan mereka selesa dengan kelebihan tujuh mata berbanding Borussia Dortmund di tangga teratas liga ketika berbaki tiga perlawanan lagi.

Kemenangan ke atas pasukan yang berisiko tersingkir, Werder Bremen pada Selasa ini akan mengesahkan kejuaraan liga untuk Bayern sekali gus yang ke-30 bagi kelab gergasi itu serta kali pertama untuk pengendali, Hansi Flick.

"Saya gembira pasukan melaksanakan tugas dengan cemerlang dan dibantu nasib yang agak baik di hujung perlawanan. Tiga mata yang kami perolehi kali ini sangat bermakna," kata Flick.

Bayern dipaksa bekerja keras sekali lagi selepas turut melakar kemenangan 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt pada aksi separuh akhir Liga Jerman, Rabu lalu.

Dortmund sebelum itu mengurangkan jurang kepada empat mata selepas tandukan minit akhir Erling Braut Haaland membantu mereka mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Fortuna Duesseldorf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 7:08 AM