ROBERT Lewandowski (kiri), Thomas Mueller (tengah) dan Manuel Neuer meraikan kejayaan memenangi kejuaraan Bundesliga. FOTO EPA
ROBERT Lewandowski (kiri), Thomas Mueller (tengah) dan Manuel Neuer meraikan kejayaan memenangi kejuaraan Bundesliga. FOTO EPA
AFP

Munich: Thomas Mueller memuji pencapaian 'fenomena' Bayern Munich selepas mereka mengesahkan gelaran Bundesliga buat kali kesembilan berturut-turut, hari ini.

Robert Lewandowski mencipta hatrik ketika membelasah Borussia Moenchengladbach 6-0 di Allianz Arena di Munich.

Bayern sebenarnya sudah mengesahkan kejuaraan liga sebelum sepak mula selepas Borussia Dortmund melakar kemenangan 3-2 ke atas pasukan tangga kedua, RB Leipzig.

"Sembilan kejuaraan berturut-turut, ia sesuatu yang gila. Saya berada bersama pasukan sepanjang tempoh itu. Saya rasa sangat bertuah," kata Mueller, 31,

yang kini berkongsi rekod memenangi kejuaraan Bundesliga 10 kali bersama rakan sepasukan, David Alaba.

"Ia menunjukkan perkembangan kelab ini sejak beberapa tahun lalu. Ia mencetuskan fenomena dan memerlukan kerja keras setiap daripada mereka di dalam pasukan."

Ketua jurulatih Hansi Flick kini sudah memenangi tujuh gelaran dalam tempoh 18 bulan tetapi tetap akan meninggalkan kelab itu yang digantikan oleh jurulatih RB Leipzig ketika ini, Julian Nagelsmann pada musim depan.

"Prestasi cemerlang mereka adalah berbaloi untuk dinobat sebagai juara," kata Flick.

Mueller menjaringkan gol kedua Bayern manakala Kingsley Coman dan Leroy Sane masing-masing turut meledak gol bersama Lewandowski yang kini sudah menjaringkan 39 gol.

"Kami mahu membuktikan di atas padang bahawa kami adalah juara Jerman," kata Lewandowski.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:06 AM