VOELLER (kiri) menjawab soalan pada sidang media bersama kapten Jerman, Ilkay Gundogan menjelang perlawanan persahabatan dengan Perancis. FOTO AFP
VOELLER (kiri) menjawab soalan pada sidang media bersama kapten Jerman, Ilkay Gundogan menjelang perlawanan persahabatan dengan Perancis. FOTO AFP
Reuters

Dortmund: Pengarah bola sepak kebangsaan Jerman, Rudi Voeller berkata, dia bukan calon untuk menggantikan jurulatih yang baru dipecat, Hansi Flick, sekalipun mengemudi pasukan pada perlawanan persahabatan dengan Perancis, awal pagi esok.

Voeller yang juga bekas juara Piala Dunia 1990 bersama Jerman dan menjadi jurulatih skuad kebangsaan dari 2000 hingga 2004 berkata, dia hanya membantu pasukan untuk satu perlawanan sahaja sebelum jurulatih baharu dilantik.

"Esok adalah satu perlawanan saja untuk saya," katanya pada sidang media.

"Saya rasa terpanggil untuk membantu bagi perlawanan ini. Matlamat saya adalah menyokong jurulatih baharu, sama seperti dilakukan dengan Hansi Flick, tetapi diharapkan keputusan nanti lebih baik."

Flick dipecat sehari selepas Jerman dimalukan 1-4 di tempat sendiri oleh Jepun, Sabtu lalu dan susulan prestasi mengecewakan sepanjang dua tahun di bawah kendaliannya, pada ketika Jerman bakal menjadi tuan rumah Euro 2024 dalam tempoh sembilan bulan lagi.

Di bawah kendalian Flick yang memenangi enam gelaran bersama Bayern Munich pada 2020, Jerman tersingkir di pusingan pertama Piala Dunia Qatar 2022, tahun lalu dan hanya menang empat daripada 17 perlawanan.

Mereka kini tewas tiga perlawanan berturut-turut iaitu kegagalan kali pertama dalam tempoh 38 tahun.

"Saya sedar situasi dan memang tidak mahu melakukannya. Mereka perlu meyakinkan saya," kata Voeller mengenai pelantikannya sebagai jurulatih sementara.

Menurutnya, Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) akan mencari pengganti sesuai yang masih memiliki masa untuk membina pasukan tuan rumah Euro 2024 itu.

"Kami akan mencari penyelesaian terbaik unuk mendapatkan siapa yang akan melakukannya dengan sepenuh hati dan jiwa.

"Sangat penting untuk kami terus mencipta suasana dan ia hadir bersama keputusan serta kemungkinan dengan orang baru."

Voeller berkata, pasukan di bawah kendalian Flick terbawa-bawa dengan kegagalan di Piala Dunia sehingga ke tahun baharu dan gagal mengembalikan keyakinan diri mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 9:56 AM