RONALDO meraikan jaringan kemenangan Portugal. FOTO AFP
RONALDO meraikan jaringan kemenangan Portugal. FOTO AFP
AFP

Reykjavik: Jaringan lewat Cristiano Ronaldo pada penampilan ke-200nya membolehkan Portugal menewaskan Iceland 1-0 awal pagi tadi sekali gus mengekalkan permulaan sempurna dalam aksi kelayakan Euro 2024.

Penyerang berusia 38 tahun itu menolak bola masuk dari jarak dekat minit ke-89 untuk jaringan ke-123 buat Portugal selain turut melebarkan rekod kap antarabangsa di Reykjavik.

"Bagi saya ia pencapaian sukar dipercayai, menakjubkan. Sudah tentu menjaringkan gol, ia lebih istimewa," kata Ronaldo kepada UEFA.com.

"Kami tidak beraksi begitu baik tetapi kadang kala bola sepak seperti itu," tambah Ronaldo yang penampilan antarabangsa pertamanya pada usia 18 tahun pada Ogos 2003.

"Tetapi kami jaringkan gol dan pada pendapat saya kami berhak menang. Saya sangat gembira kerana ini kap ke-200 malah lebih istimewa."

Ronaldo menerima sejambak bunga dan sijil di atas pencapaian itu, rekod terbaru bekas bintang Real Madrid dan Manchester United terbabit.

Selepas meledak gawang dua kali dalam setiap aksi kelayakan Portugal pada Mac lalu termasuk menentang Liechtenstein dan Luxembourg, Ronaldo gagal menjaringkan gol ketika menewaskan Bosnia 3-0 minggu lalu.

Dia kerap terperangkap ofsaid ketika menentang Iceland dan tandukannya sedikit tersasar hasil sepakan sudut pada awal babak kedua.

Tetapi Ronaldo sekali lagi menepis kritikan yang meragui kemampuannya apabila menjaringkan gol kemenangan selepas Iceland beraksi 10 pemain susulan Willum Thor Willumsson dibuang padang.

Hantaran Goncalo Inacio ditolak masuk Ronaldo minit ke-89. Tetapi gol itu pada awalnya yang dibatalkan kerana ofsaid kemudiannya dibenarkan pengadil.

Portugal kini menduduki tangga teratas Kumpulan J, meledak 14 gol tanpa bolos menerusi empat kemenangan berturut-turut dan semakin hampir mara ke pusingan akhir di Jerman tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 7:07 AM