ANTONY berdepan dakwaan menyerang kekasihnya. FOTO AFP
ANTONY berdepan dakwaan menyerang kekasihnya. FOTO AFP
Reuters

London: Manchester United memandang serius dakwaan Antony menyerang bekas kekasihnya ketika siasatan polis masih berjalan, yang menyebabkannya digugurkan daripada skuad kebangsaan Brazil untuk dua perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) mengumumkan menggugurkan nama Antony, Isnin lalu, selepas media tempatan UOL menyiarkan dakwaan serangan dilakukan olehnya ke atas bekas teman wanitanya, Gabriela Cavallin.

Antony bagaimanapun menafikan melakukan perbuatan sedemikian.

United berdepan tekanan untuk menjawab dakwaan terhadap Antony selepas melepaskan seorang lagi penyerang, Mason Greenwood.

Manchester United bulan lalu berkata Greenwood akan meninggalkan Old Trafford untuk mengelak daripada diganggu selepas dia berdepan dakwaan cubaan merogol.

Tuduhan itu bagaimanapun digugurkan pada Februari dan Greenwood baharu menyertai pasukan LaLiga Sepanyol, Getafe secara pinjaman selama semusim.

United berkata kelab itu memandang serius kes Antony dengan mengambil kira kesan dakwaan berkenaan.

Kelab itu berkata mereka menghormati siasatan polis ketika ini dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut mengenai isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 9:32 PM