ANTONY kini sedang disiasat polis berhubung dakwaan menyerang bekas kekasihnya. -FOTO The Sun
ANTONY kini sedang disiasat polis berhubung dakwaan menyerang bekas kekasihnya. -FOTO The Sun
Agensi

London: Brazil mengesahkan pemain sayap Manchester United, Antony disingkirkan daripada skuad mereka selepas polis menyiasat dakwaan dia menyerang bekas teman wanita.

Gabriela Cavallin mendakwa Antony, 23, memukul dan menumbuknya di bilik hotel Manchester pada Januari, sehari selepas perlawanan derby Manchester menentang City.

Bintang United itu bagaimanapun mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan mengesahkan dia sudahpun memberikan keterangannya kepada polis.

Satu kenyataan dari GMP berkata: "Polis Manchester mengesahkan dakwaan yang dibuat dan siasatan masih diteruskan untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya. Kami tidak akan mengulas lanjut buat masa ini."

Konfederasi Bola Sepak Brazil kemudiannya mengumumkan bahawa Antony diketepikan dari skuad menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru.

Terdahulu Gabriela membuat dakwaan terhadap pemain bola sepak itu dalam temu bual dengan laman web Brazil UOL dan turut menyiarkan tangkap layar mesej dari perbualan Whatsapp dan dakwaan kecederaannya.

Dia mendakwa mengalami luka di kepalanya, implan payudara yang rosak dan kuku jari yang terpaksa dipotong akibat insiden yang didakwa berlaku di hotel Hyatt Regency Manchester pada 14 Januari.

Dia berkata: "Saya tidak ingat dengan tepat kami bertengkar atas sebab apa tetapi ia adalah seseorang yang saya temui bertahun-tahun yang lalu.

"Dia menumbuk saya di dada dan silikon saya rosak. Dan kemudian saya datang ke Brazil untuk menjalani pembedahan.

"Dia berkata, 'Saya tidak bermaksud untuk menyakiti awak, ia tidak sengaja, ia bukan satu tumbukan, saya hanya menolak awak, saya hanya menolak awak ke dinding'."

Gabriela turut mendakwa terdapat satu lagi insiden berasingan pada Mei di mana dia dibiarkan 'dalam ketakutan' selepas Antony melemparkan telefonnya ke arahnya dan berkata dia akan membunuhnya dan dirinya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 8:08 AM