GREEWOOD lega tuduhan ke atasnya digugurkan. FOTO Reuters
GREEWOOD lega tuduhan ke atasnya digugurkan. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Semua tuduhan jenayah terhadap penyerang Manchester United, Mason Greenwood digugurkan.

Perkara itu dijelaskan oleh pihak polis dan pendakwaraya pagi tadi.

Greenwood, yang digantung United pada Januari 2022 apabila tuduhan terhadapnya muncul di media sosial, didakwa dengan cubaan merogol, mengawal menerusi perlakuan dan serangan Oktober lalu.

Dia sepatutnya dibicarakan pada 27 November 2023.

"Saya lega bahawa perkara ini sudah selesai dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, orang yang saya sayang dan rakan-rakan kerana sokongan mereka. Tidak ada sebarang komen lanjut mengenai perkara ini," kata Greenwood dalam satu kenyataan.

United juga mengeluarkan kenyataan ringkas mengatakan kelab itu akan 'menjalankan prosesnya sendiri sebelum menentukan langkah seterusnya', sambil menambah bahawa mereka tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut sehingga proses itu selesai.

"Keputusan dibuat untuk menghentikan pendakwaan mengikut Code for Crown Prosecutors," kata Crown Prosecution Service (CPS) dalam satu kenyataan yang menamakan Greenwood.

"Dalam kes ini, bersama penarikan diri saksi utama dan bahan kes baharu yang ditemui, bermakna tiada lagi prospek realistik untuk dia disabitkan," kata CPS dalam satu kenyataan.

CPS menambah bahawa ia menggalakkan mana-mana mangsa yang berpotensi untuk tampil ke hadapan dan melaporkan kepada polis.

Penyerang itu berdepan satu kes cubaan merogol, satu kes cuba mengawal menerusi perlakuan serta satu kes serangan menyebabkan kecederaan, semuanya terhadap seorang wanita yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 1:08 PM