JULEN Lopetegui. FOTO Agensi
JULEN Lopetegui. FOTO Agensi
AFP

London: Julen Lopetegui meninggalkan tugasnya selaku jurulatih Wolves hanya beberapa hari sebelum permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dilaporkan tidak berpuas hati dengan dasar pengambilan pemain kelab itu.

"Wolves dan Julen Lopetegui sudah mencapai persetujuan untuk berpisah, menamatkan tempoh sembilan bulan pengendali Sepanyol itu sebagai ketua jurulatih di kelab ini.

"Ketua jurulatih dan kelab mengakui dan menerima perbezaan pendapat mengenai isu tertentu dan bersetuju bahawa penamatan kontraknya secara baik adalah penyelesaian terbaik untuk semua pihak," kata Wolves dalam satu kenyataan.

Bekas ketua jurulatih Bournemouth, Gary O'Neil, yang dipecat musim panas lalu, dilaporkan akan menggantikan Lopetegui.

Bekas bos Sepanyol dan Real Madrid, Lopetegui menyertai Wolves pada November tahun lalu, menggantikan Bruno Lage, dengan kelab itu menduduki tangga tercorot Liga Perdana sebelum membantu mereka kekal di liga utama itu apabila menamatkan saingan tempat ke-13.

Tetapi pengendali berusia 56 tahun itu dikatakan kecewa dengan pendekatan kelab dalam pasaran perpindahan pemain apabila beberapa pemain utama meninggalkan kelab itu namun penggantinya agak terhad.

Wolves menjual pemain seperti Ruben Neves, Conor Coady, Nathan Collins dan Raul Jimenez tetapi hanya membawa masuk dua pemain secara percuma iaitu Matt Doherty dan Tom King.

Dalam kenyataannya, Lopetegui berkata: "Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Wolves dan semua di kelab untuk masa depan mereka, dan berterima kasih kepada kelab atas peluang yang diberikan pada masa saya mengendalikan kelab yang hebat ini."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 7:28 AM