JURULATIH Real Madrid, Julen Lopetegui. FOTO AFP
JURULATIH Real Madrid, Julen Lopetegui. FOTO AFP
AFP

MADRID: Julen Lopetegui sedia berjuang untuk mengubah nasib Real Madrid musim ini namun tidak memberi jaminan sama ada beliau akan mengendalikan pasukan itu bagi aksi Clasico menentang Barcelona, hujung minggu ini.

Masa depan Lopetegui diragui hanya empat bulan selepas dipecat pasukan kebangsaan Sepanyol sebelum berpindah ke Madrid menjelang aksi Piala Dunia.

Pasukannya berdepan Viktoria Plzen pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini, selepas lima perlawanan tanpa menang selain kalah dalam tiga aksi terakhir.

“Apa yang saya belajar mengenai kelab ini adalah berjuang, inilah DNA kelab ini,” kata Lopetegui pada sidang akhbar hari ini.

“Itulah yang akan kami lakukan, berjuang, pemain dan staf kejurulatihan. Kami sedar keputusan tidak bagus tapi kami mahu mengubah semua ini. Kami akan turun berjuang.”

Ditanya sama ada beliau akan berada di bangku simpanan apabila Real berkunjung ke Nou Camp hujung minggu ini, Lopetegui berkata: “Saya berada di sini sekarang, itulah yang boleh saya katakan. Saya jurulatih ketika ini.

“Jika anda tanya saya apa akan berlaku dalam masa sebulan atau setahun, saya tidak boleh beritahu anda. Kami fokus terhadap situasi semasa.”

Kemerosotan Madrid menyaksikan mereka menghuni tangga ketujuh La Liga Sepanyol manakala kekalahan kepada CSKA Moscow dalam Liga Juara-Juara bulan lalu menyebabkan mereka berada di tangga ketiga Kumpulan G. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 11:10 PM