ELAVARASAN  tidak dapat mengumpulkan pemain terbaik memandangkan saingan liga domestik masih berjalan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
ELAVARASAN tidak dapat mengumpulkan pemain terbaik memandangkan saingan liga domestik masih berjalan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pendekatan berhati-hati nyata menjadi pilihan skuad Harimau Muda dan pasukan Garuda Muda apabila kedua-duanya bakal turun dalam aksi pertama Kumpulan B Kejuaraan AFF Bawah 23 (B-23) tahun di Stadium Rayong, Thailand, malam esok.

Pengendali negara, E Elavarasan mengakui kehadiran pasukan kebangsaan di saingan itu adalah sebagai medan persiapan menuju ke pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 bulan depan.

Malah, ketiadaan ramai pemain utama yang tidak dapat dikumpulkan kerana Kejuaraan AFF B-23 dilangsungkan di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menyaksikan pasukan negara tidak dapat membariskan skuad terbaik di Thailand itu.

"Masalah kami sama seperti pasukan Indonesia kerana tidak dapat mengumpulkan pemain terbaik memandangkan saingan liga domestik masih berjalan.

"Namun, kita memberi peluang kepada pemain-pemain baharu dan berharap dapat menjadikan kejohanan ini sebagai medan persiapan sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 pada bulan depan," katanya pada sidang media di Rayong, Thailand hari ini.

Pandangan sama disuarakan ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong yang mengakui sukar membariskan skuad terbaik ekoran pertindihan jadual dengan liga utama Indonesia ketika ini.

"Persiapan kami tidak begitu bagus dan saya percaya itulah yang dialami oleh negara-negara serantau memandangkan saingan liga domestik masih berjalan.

"Kita tidak dapat bawa pemain terbaik pada kejohanan kali ini dan tiada sasaran khusus melainkan untuk beri yang terbaik pada sepanjang perlawanan," kata Tae-yong yang membawa skuad B-22 Indonesia memenangi pingat emas Sukan Sea Kemboja Mei lalu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan selepas aksi bertemu Indonesia, pasukan negara akan menentang Timor Leste Selasa depan, dengan juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 4:04 PM