SKUAD B-23 negara beraksi di Kejuaraan AFF B-23 tanpa beberapa tonggak utama. FOTO FAM
SKUAD B-23 negara beraksi di Kejuaraan AFF B-23 tanpa beberapa tonggak utama. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekalahan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di separuh akhir Kejuaraan AFF B-23 di Rayong, Thailand, semalam bermakna tamatlah sudah impian pasukan Harimau Muda layak ke final saingan serantau itu buat julung kali.

Biarpun bermula positif di peringkat kumpulan dengan merekodkan dua kemenangan bersih dalam dua aksi untuk muncul juara Kumpulan B, ia tampaknya masih belum cukup bagus untuk melayakkan anak buah E Elavarasan beraksi di pentas final kali ini.

Pasukan negara tewas 1-4 di tangan skuad B-23 Vietnam yang jelas lebih baik dan ampuh dari setiap sudut untuk 'mengajar' Malaysia bagaimana bola sepak moden di mainkan.

Di manakah silapnya, adakah nasib pasukan boleh berubah jika pemain terbaik dapat dikumpulkan pada saingan ini?

Berdasarkan situasi semasa, Elavarasan terpaksa terbang ke Thailand dengan barisan kedua selepas majoriti tonggak utama tidak dapat dilepaskan oleh kelab Liga Malaysia dan luar negara ekoran jadual saingan domestik yang masih berjalan.

Malah, alasan saingan AFF yang dilangsungkan di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menyebabkan pengurusan pasukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri tiada 'kuasa' untuk memaksa pemain utama melaporkan diri.

Justeru, kualiti yang diharapkan daripada barisan kedua ini pastinya tidak sama berbanding pasukan utama. Bukan mahu menidakkan keupayaan pemain, namun itulah hakikat yang perlu ditelan.

Nama-nama seperti Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Hanapi, Hong Wan, Feroz Baharudin, Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan ramai lagi sebenarnya mampu memberi kekuatan yang maksimum buat skuad B-23 tahun negara.

Sukan Sea di Kemboja pada Mei lalu dan kini Kejuaraan AFF B-23 menyaksikan pasukan muda negara tampak hilang cengkaman dek kerana 'ideologi' berbeza kelab yang lebih mengutamakan saingan domestik berbanding memartabatkan maruah negara di pentas antarabangsa.

Adakah skrip sama bakal berulang dan kita bakal dikecewakan dengan satu lagi kegagalan pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, Thailand pada bulan depan? Adakah skuad B-23 akan mencipta kegagalan hatrik nanti?.

Apapun alasan sama ada pemain seperti Arif Aiman terlalu bagus untuk skuad bawahan atau sebaliknya, keutamaan perlulah diberikan mengikut keadaan dan situasi pasukan.

Jika skuad B-23 lebih memerlukan, maka raikanlah kerana mereka ini juga adalah barisan masa hadapan yang akan meneruskan kelangsungan pasukan kebangsaan satu hari nanti.

Benar kita mahu ranking dunia Harimau Malaya terus meningkat, namun janganlah dikorbankan aspek pembangunan.

Biarlah jadi jaguh dalam erti kata sebenar dari peringkat umur sehinggalah senior semua kita 'tapau', berbanding memilih 'bulu' kerana bimbang kita hanya akan jadi jaguh 'mi segera' sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 9:51 PM