DEMBELE (kanan) bersama pengurus pasukan Al-Ettifaq, Steven Gerrard. FOTO Al-Ettifaq
DEMBELE (kanan) bersama pengurus pasukan Al-Ettifaq, Steven Gerrard. FOTO Al-Ettifaq
Reuters

Dammam: Penyerang Perancis, Moussa Dembele menyertai Al-Ettifaq sebagai ejen bebas selepas kontraknya di Olympique Lyonnais tamat, umum kelab Liga Pro Saudi itu awal pagi tadi.

Bagaimanapun butiran kewangan perjanjian itu tidak diumumkan.

"Moussa Dembele, selamat datang ke Al-Ettifaq," umum kelab itu dalam mesej di Twitter.

Dembele menjadi pemain sensasi di liga Scotland selepas menyertai Celtic pada tahun 2016, membantu kelab itu menjuarai treble berturut-turut.

Dia kemudian berpindah ke Lyon pada 2018 dan selepas menghabiskan sebahagian musim 2020-21 secara pinjaman di Atletico Madrid yang mana dia hanya beraksi tujuh perlawanan, dia kembali ke kelab Ligue 1 itu dan melengkapkan 172 penampilan dalam semua pertandingan dengan menjaringkan 70 gol.

Terdahulu semalam, kelab itu turut mengikat pertahanan Scotland, Jack Hendry dari kelab Belgium, Club Brugge.

Susulan perpindahan Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr Disember lalu, beberapa nama besar dikaitkan dengan kelab Liga Pro Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 10:18 AM