PERAK FC kini dibimbing oleh Yusri. FOTO Perak Football Club
PERAK FC kini dibimbing oleh Yusri. FOTO Perak Football Club
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali sementara Perak FC, Yusri Che Lah mengakui tugasnya cukup berat dan mencabar dalam usaha memulihkan kembali prestasi pasukan dalam baki perlawanan Liga Super.

Yusri berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab memimpin skuad Bos Gaurus dengan berusaha mencipta keputusan positif bagi memastikan pasukannya tidak berada di kelompok tercorot liga.

Pada masa sama, beliau juga akan berusaha membina pasukan yang mantap supaya Perak FC mampu meraih tiga mata penting sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong skuad Bos Gaurus.

"Saya mengambil tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dengan tujuan adalah memastikan kita dapat mengumpul sebanyak mungkin mata untuk pasukan.

"Perkara paling penting adalah akan pastikan pada perlawanan akan datang terus memihak kepada Perak FC berdasarkan kepada pemain sedia ada dalam pasukan," katanya.

Mengikut rekod, pada perlawanan Liga Super sebelum ini menyaksikan Perak FC akhirnya menikmati kemenangan sulung selepas menewaskan Kuching City FC 2-1.

Kemenangan ketiga buat 'The Bos Gaurus' pada musim ini juga menyaksikan Kuching City FC terus buntu meraih kemenangan dalam 15 perlawanan selepas kemenangan tunggal pada aksi pertama, Februari lalu.

Ketika ini, Perak FC berada di kedudukan ke 11 dengan mengumpul 13 mata daripada 17 perlawanan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 2:48 PM