PEMAIN Perak FC, Luciano Guaycochea (dua, kiri) menendang bola ke arah gawang gol pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak. -FOTO Bernama
PEMAIN Perak FC, Luciano Guaycochea (dua, kiri) menendang bola ke arah gawang gol pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak. -FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Perak FC Yusri Che Lah mengakui jurang bagaikan langit dan bumi menyebabkan pasukannya agak sukar meraih kemenangan pada pertemuan menentang Sabah FC malam tadi.

Jurulatih berusia 50 tahun itu berkata, barisan anak buahnya sudah mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya menyerap setiap serangan daripada Sabah FC bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Beliau berkata, hanya kerana sedikit kelekaan pada babak terakhir perlawanan menyebabkan mereka dihukum sekali gus terlepas peluang untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu mata buat skuad Bos Gaurus.

"Secara keseluruhan, pemain Perak FC mempamerkan aksi membanggakan kerana mereka cukup berdisiplin untuk bertahan daripada dibolosi.

"Cuma ada sedikit hilang fokus kita dihukum lawan namun positifnya pada separuh masa pertama mampu bertahan dan turut melakukan serangan ke kubu lawan.

"Walaupun tewas, kita tampil dengan karakter melawan dan berjuang hampir 90 minit. Lawan kita berada di level yang jauh namun tetap mampu memberi tentangan sengit," katanya.

Sebelum itu, hasrat Perak FC untuk memperbaiki kedudukan Liga Super musnah selepas tewas 0-1 kepada Sabah FC pada perlawanan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Sabah FC perlu menunggu di saat akhir untuk mengesahkan tiga mata penting milik mereka selepas beberapa serangan yang dilakukan sejak awal babak pertama gagal diterjemahkan dengan gol.

Gol Sabah FC dijaringkan ayam tambatan mereka Park Taesu ketika perlawanan berbaki lima minit sebelum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 1:18 PM